Kerajaan negeri lancar tabung bantu bayar denda Selangor FC

Kerajaan negeri lancar tabung bantu bayar denda Selangor FC

MFL antara lain mendenda Selangor FC RM100,000 kerana tidak hadir aksi Piala Sumbangsih menentang JDT bulan lalu.

selangor
Menteri Besar Amirudin Shari berkata pihanya bersolidariti bersama Selangor FC yang dikenakan tindakan oleh MFL. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan negeri setuju melancarkan tabung mengumpul dana membantu Selangor FC membayar denda dikenakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata keputusan itu dibuat selaras titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini, selepas berbincang dengan exco sukan negeri.

“Bagi menggerakkan usaha solidariti ini, saya dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan turut menyumbang kepada usaha mengumpul dana dan membayar denda pada minggu hadapan sebagai komitmen untuk menegakkan keadilan bagi Selangor FC,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa kecewa dengan hukuman ‘tidak masuk akal’ dikenakan terhadap Selangor FC kerana tidak hadir aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, bulan lalu.

Baginda bertitah, keputusan itu dianggap tidak bertanggungjawab dan ‘berlebihan’ memandangkan kemenangan sudah diberikan kepada pasukan lawan.

Semalam, MFL mengumumkan denda RM100,000 terhadap Selangor FC, bayaran pampasan kerugian ditanggung pasukan tuan rumah, JDT dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.

Selain itu, perlawanan Liga Super melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga dimainkan tanpa penonton.

Selangor FC menjelaskan, mereka memohon penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih selepas kes jenayah serangan asid terhadap Faisal Halim pada 5 Mei lalu, dan beberapa lagi insiden lain melibatkan pemain bola sepak tanah air, namun permohonan itu ditolak.

Terdahulu, MFL menyatakan Selangor FC mempunyai tempoh hingga hujung minggu ini untuk menghantar surat rayuan rasmi berhubung hukuman dikenakan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, berkata jumlah hukuman terhadap Selangor diputuskan ahli Lembaga Pengarah MFL juga mungkin dikurangkan berdasarkan pertimbangan badan rayuan MFL.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.