3 disyaki ejen ‘bookie’ Euro 2024 ditahan

3 disyaki ejen ‘bookie’ Euro 2024 ditahan

Dua lelaki tempatan dan seorang warga asing ditahan di tiga lokasi sekitar Cheras.

Tiga lelaki terbabit bergerak berasingan dan merupakan ejen ‘bookie’ peribadi dalam membuat pertaruhan bola sepak Euro 2024. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Tiga lelaki termasuk seorang warga asing disyaki ejen ‘bookie’ kegiatan perjudian bola sepak Euro 2024 ditahan dalam Op Soga bermula Isnin lalu hingga awal pagi tadi.

Ketua Polis Cheras, Ravindar Singh Sarban Singh, berkata dua lelaki tempatan berusia 40 dan 44 tahun serta seorang warga asing berusia 34 ditahan di tiga lokasi sekitar Cheras.

Katanya, siasatan awal mendapati tiga lelaki terbabit bergerak secara berasingan dan merupakan ejen ‘bookie’ peribadi dalam membuat pertaruhan bola sepak.

“Mereka bergerak secara ‘sendirian’ untuk elak dikenal pasti sebagai ‘bookie’ dengan mengambil sebarang amaun (daripada pelanggan),” katanya dalam kenyataan, menurut Bernama.

Beliau berkata, polis turut merampas tiga telefon bimbit milik tiga lelaki terbabit dan pemeriksaan mendapati terdapat aplikasi serta perbualan mengenai pertaruhan.

Katanya, dua lelaki warga tempatan dibebaskan dengan jaminan polis dan warga asing itu pula direman empat hari hingga 28 Jun.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.