Kabinet Anwar ramai ahli politik baik, tapi kurang pentadbir, kata Dr M

Kabinet Anwar ramai ahli politik baik, tapi kurang pentadbir, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad mendakwa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim terlalu memfokuskan ‘survival’ politik.

Tun Dr Mahathir-mohamad-
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tidak menangani isu kenaikan kos sara hidup dengan betul.
PETALING JAYA:
Jemaah Menteri Anwar Ibrahim memiliki ramai ahli politik baik, tetapi kurang cekap dalam pentadbiran, dengan ramai daripadanya tiada pengalaman mencukupi dalam kerajaan, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, anggota kerajaan Anwar tidak dapat menterjemahkan populariti mereka ke arah membentuk pentadbiran padu lagi berkesan.

“Jemaah Menteri tidak merangkumi pentadbir yang baik. Mereka ahli politik baik, tetapi bukan pentadbir baik. Jadi, mereka tidak memimpin negara (dengan baik),” katanya dalam wawancara khas bersama FMT.

Beliau menyifatkan Anwar sendiri terlalu memfokuskan “survival” politik.

“Anwar tidak memberikan kepimpinan sepatutnya kerana beliau sibuk menangani orang menentangnya,” katanya memetik contoh siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap anak-anaknya, Mokhzani dan Mirzan, serta bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin.

Awal tahun ini, Daim dan isterinya, Naimah Khalid didakwa di bawah Akta SPRM 2009 kerana gagal mengisytiharkan aset, manakala Mokhzani dan Mirzan diberikan notis di bawah Seksyen 36 akta itu.

Mahathir turut menyuarakan kebimbangan terhadap sikap kerajaan dianggap tidak mesra perniagaan, yang dilihat mempunyai kesan buruk terhadap keupayaan menarik pelaburan langsung asing serta memupuk pertumbuhan ekonomi.

“Kerajaan tidak berfungsi dengan baik dan disebabkan itu, ekonomi tidak dapat berkembang.”

Menurutnya, dasar Malaysia Inc yang diperkenalkannya pada 1981 bertujuan menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta.

“Dasar itu telah diketepikan. Rakyat kini sukar berniaga disebabkan rasuah, ketidakcekapan, kelewatan mendapat kelulusan dan sebagainya.”

Beliau turut mengkritik pendekatan kerajaan dalam menangani kenaikan kos sara hidup dan berpendapat kenaikan cukai serta rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan terburu-buru membebankan rakyat.

Katanya, peningkatan cukai dan perubahan dasar sepatutnya dilaksanakan secara beransur-ansur bagi mengurangkan gangguan terhadap rantaian bekalan serta pengguna.

“(Kalau) mahu naikkan cukai dan sebagainya, lakukannya secara beransur-ansur, bukan sekali gus. (Harga diesel) naik RM1.20 (seliter), satu kenaikan besar dan itu membuatkan orang ramai menderita.”

Rasionalisasi itu yang berkuat kuasa 10 Jun lalu menyebabkan harga diesel naik kepada RM3.35 seliter, tetapi kerajaan jimat RM4 bilion setahun.

Pada 1 Mac lalu, kerajaan menaikkan cukai perkhidmatan daripada 6% kepada 8% dan memperluaskannya kepada beberapa sektor. Kenaikan itu yang tidak termasuk barangan keperluan seperti makanan dan minuman serta perkhidmatan telekomunikasi, dijangka menjana hasil tambahan sebanyak RM3 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.