
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Julaihi Narawi, berkata kempen tersebut akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 3 Julai.
Beliau berkata pada tahun lalu, kegiatan vandalisme mengakibatkan kerosakan kepada infrastruktur telekomunikasi dan elektrik dengan anggaran kerugian melebihi RM20 juta.
”Vandalisme dan kecurian kabel telah menjejaskan lebih 1,200 menara telekomunikasi termasuk yang dibina oleh Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dan melalui inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di kawasan luar bandar.
“Kabel dicuri, bateri dirosakkan, dan ini menyebabkan gangguan besar kepada perkhidmatan telekomunikasi,” katanya selepas melawat tapak kerja Program Grid Bekalan Air Sarawak–Stressed, di Pulau Bruit.
Julaihi berkata, kempen bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dan mendorong mereka melaporkan perbuatan vandalisme kepada pihak berkuasa, akan melibatkan penyertaan agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan telekomunikasi, institusi pendidikan, dan masyarakat umum.
“Selain itu sekolah di seluruh Sarawak akan turut serta dalam usaha mendidik para pelajar mengenai kesan buruk vandalisme dan kepentingan bersama-sama melindungi kemudahan tersebut,” katanya.