Wan Saiful akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan

Wan Saiful akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan

Usul itu disokong majoriti Ahli Parlimen kerajaan manakala wakil rakyat blok pembangkang bertindak keluar sebagai tanda protes.

Azalina Othman Said berkata Dewan Rakyat memandang serius kenyataan Wan Saiful Wan Jan yang mendakwa kes mahkamahnya boleh dimanipulasi untuk dibatalkan atau digugurkan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan kenyataannya bahawa kes mahkamahnya boleh dimanipulasi untuk dibatalkan atau digugurkan.

Usul merujuk pemimpin Bersatu itu ke jawatankuasa berkenaan diluluskan melalui undian blok disokong majoriti Ahli Parlimen kerajaan manakala wakil rakyat blok pembangkang bertindak keluar sebagai tanda protes.

Sebelum keputusan itu dibuat, Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Syahredzan Johan (PH-Bangi) dibenarkan berbahas oleh Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

Menteri di Jabatan Perdana (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said ketika membentangkan usul itu berkata Dewan Rakyat memandang serius kenyataan Wan Saiful pada 21 Mac lalu, mendakwa kes mahkamahnya boleh dimanipulasi untuk dibatal atau digugurkan.

“Perbuatan ini telah menunjukkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor telah menyebut perkara yang sedang dalam timbangan mahkamah dan boleh dianggap merosakkan kepentingan pihak-pihak yang berbicara dalam kes tersebut,” katanya.

Susulan itu, Wan Saiful perlu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk menentukan sama ada kenyatannya mengelirukan dan membauat syor untuk pertimbangan dewan.

Pada 22 Mac lalu, Ahli Parlimen Tanjong Karang Dr Zulkafperi Hanapi memfailkan usul merujuk Wan Saiful ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, selepas pemimpin Bersatu itu membuat sangkaan jahat terhadapnya dengan mendakwa dirinya sebagai ‘ejen’ yang memujuk dan menyogok Ahli Parlimen PN untuk menyokong kerajaan.

Sehari sebelum itu, Wan Saiful mendakwa Zulkafperi dan Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim bersama tiga lagi individu dikenali sebagai Hasnan, Datuk Azman serta Datuk Rahim membuat kacau ganggu dalam usaha mempengaruhi kelakuan dan sokongan beliau kepada kerajaan.

Wan Saiful kini berdepan tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan projek Jana Wibawa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada aktiviti haram 2001.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.