Memulihkan ekonomi Malaysia

Memulihkan ekonomi Malaysia

Pendapatan tinggi daripada cukai dan penjimatan subsidi bantu pacu pembangunan negara dan rakyat memerlukan.

KL Skyline
Belanjawan besar setiap tahun untuk pengurusan dan pembangunan bukti komitmen kerajaan mensejahterakan negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mentadbir negara memerlukan belanja besar. Dalam konteks Malaysia, kerajaan tahun ini memperuntukkan 3/4 daripada dana keseluruhan RM393.8 bilion dalam Belanjawan 2024 untuk perbelanjaan mengurus (opex).

Peruntukan besar itu membabitkan dana RM303.8 bilion yang jumlah itu dijangka meningkat seiring keperluan untuk membangunkan negara pada masa depan.

Tetapi mengapa belanja mengurus sangat tinggi?

Namun, timbul persoalan mengapa jumlah perbelanjaan opex sangat tinggi dan dilihat seolah-olah tidak seimbang dengan peruntukan belanja pembangunan yang tahun ini berjumlah RM92 bilion.

Perbelanjaan menguruskan meliputi pelbagai aspek termasuk emolumen membabitkan gaji penjawat awam, pencen pesara, selain subsidi, penyelenggaraan bangunan kerajaan serta kadar faedah untuk membayar faedah pinjaman.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan pernah menyatakan hutang negara kini mencecah RM1.5 trilion termasuk liabiliti yang perlu ditangani segera.

Mengikut data Kementerian Kewangan, perbelanjaan paling tinggi disalur untuk pemberian bayaran dan kenaan bayaran tetap dengan RM167.57 bilion diikuti menampung emolumen (RM95.64 bilion), perkhidmatan dan bekalan (RM38.01 bilion), aset (RM1.71 bilion) dan perbelanjaan lain (RM0.87 bilion).

Hakikatnya selepas ditolak hutang yang perlu dibayar termasuk opex, tiada banyak wang yang tinggal untuk perbelanjaan pembangunan.

Tambah pendapatan negara

Bagi menampung perbelanjaan itu, kerajaan perlu mencari jalan untuk menambah pendapatan negara. Pelbagai langkah diambil kerajaan antaranya menyelaraskan cukai perkhidmatan daripada 6% kepada 8% mulai 1 Mac lalu.

Bukan itu sahaja. Turut diperkenalkan cukai lain termasuk cukai barang bernilai rendah dan cukai keuntungan modal – yang berkuat kuasa 1 Jan tahun ini serta cukai barang bernilai tinggi.

Bagaimanapun, timbul kebimbangan jika langkah itu tidak meningkatkan pendapatan negara, kesannya akan dirasai rakyat. Sebab itu pendapatan rakyat juga perlu meningkat seiring kenaikan cukai.

Realitinya, tahap pendapatan per kapita di negara ini tidak banyak meningkat, ia berlegar sekitar USD11,000 setahun sejak 10 tahun lalu.

“Gaji bagi separuh pekerja Malaysia kurang daripada RM2,250 sebulan. Belia, khususnya graduan berhak meraih pendapatan lebih bermaruah. Keadaan ini tentunya membimbangkan dan negara yang bertanggungjawab perlu ada jalan penyelesaian,” kata Anwar.

Bagi membantu rakyat keluar daripada perangkap gaji sederhana dan rendah, kerajaan perlu meningkatkan produktiviti dengan mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dengan gaji lebih lumayan.

Peningkatan hasil daripada cukai tambahan itu kini dapat dilihat selain penjimatan besar daripada penyasaran subsidi bahan api, gula, ayam dan elektrik, langkah yang dianggap memberi serampang dua mata kerana turut mengekang penyeludupan.

Padu jadi rujukan

Padu yang dilancarkan 2 Jan lalu berfungsi untuk memastikan subsidi dibelanjakan sampai kepada mereka yang berhak.

Seterusnya, dana itu mesti disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Di sinilah pangkalan data utama (Padu) memainkan peranannya dan memberi manfaat besar.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berlata Padu yang dilancarkan 2 Jan lalu adalah komitmen kerajaan membangunkan satu pangkalan data menjadi sumber rujukan utama kepada semua agensi kerajaan dalam membuat keputusan berpandukan data tepat.

“Di samping menambah baik kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Padu berfungsi untuk memastikan subsidi yang dibelanjakan sampai kepada mereka yang berhak. Perkara ini mustahak mengambil kira Malaysia membelanjakan RM52 bilion untuk subsidi yang sebahagian besarnya dinikmati mereka yang berpendapatan lebih tinggi.

Sistem itu tidak hanya tertumpu kepada pendapatan individu; ia juga mempertimbangkan komitmen kewangan terhadap seluruh isi rumah. Misalnya, walaupun seseorang itu dikategorikan sebagai berpendapatan sederhana tinggi, jika ia menyara keluarga besar dengan perbelanjaan yang tinggi, perkara itu diambil kira dalam menentukan siapa layak menerima subsidi.

Setelah kerajaan berjaya menambahkan pendapatan negara melalui cukai dan penyasaran subsidi, langkah seterusnya adalah untuk mengelakkan ketirisan dengan membasmi rasuah dan membendung kebocoran fiskal supaya dana awam terbabit tidak dibazirkan.

Rumusannya kerajaan telah mengambil beberapa langkah bertujuan memulihkan kewangan negara dan menambah dana untuk perbelanjaan pembangunan. Pertama, meningkatkan hasil dengan menambah cukai yang harus seiring peningkatan produktiviti.

Kedua, melakukan penyasaran subsidi untuk mencapai lebih banyak penjimatan. Ketiga, kerajaan perlu banteras rasuah habis-habisan supaya dana terkumpul ini tidak disia-siakan sebaliknya disalurkan kepada mereka yang memerlukan dan pembangunan negara.

Semua ini dibuat untuk memulihkan ekonomi negara, mengurangkan hutang dan memposisikan kita ke arah negara berpendapatan tinggi.

Langkah-langkah ini sudah pastinya sukar. Jadi adakah rakyat menyokong inisiatif reformasi ekonomi itu? Apakah kerajaan mempunyai iltizam politik untuk melaksanakan langkah ini sehabis baik?

Apa yang pasti ialah tindakan berani dan ketara perlu diambil semua pihak sebelum terlambat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.