Malaysia kekal sokong penyelesaian dua negara selesai konflik di Gaza, kata menteri luar

Malaysia kekal sokong penyelesaian dua negara selesai konflik di Gaza, kata menteri luar

Mohamad Hasan menegaskan keutamaan kini untuk menghentikan kekejaman dan pembunuhan nyawa tidak berdosa.

Mohamad Hasan berkata Malaysia sentiasa menyokong penyelesaian terbaik untuk menghentikan konflik Israel-Palestin.
KUALA LUMPUR:
Malaysia akan menyokong usaha penyelesaian dua negara bagi memastikan konflik Palestin dan Israel dapat dihentikan, kata Menteri Luar Mohamad Hasan.

Tegasnya, keutamaan kini untuk menghentikan kekejaman rejim Zionis yang berterusan membunuh rakyat Palestin setiap hari.

“Kita akan terus sokong apa jua usaha termasuk penyelesaian konflik di Palestin melalui penyelesaian dua negara.

“Kita sokong penuh apa sahaja isu boleh selesaikan konflik ini dengan segera, namun pembunuhan kena berhentikan dulu lepas itu kita cari jalan,” katanya menjawab soalan lisan Hadi Awang (PN-Marang) di Parlimen.

Hadi meminta penjelasan sama ada kerajaan akan menyemak semula dasar ‘two-state solutions’ atau penyelesaian dua negara bagi mempertahankan kedaulatan rakyat Palestin di Gaza.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata Malaysia bersama 13 negara lain menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyokong usul Amerika Syarikat untuk menyelesaikan konflik di Palestin melalui tiga fasa.

“Semua negara sokong, fasa pertama gencatan senjata kekal, kemasukan bantuan kemanusiaan dan pembebasan tebusan, kedua pertukaran tahanan warga Palestin dan pengunduran penuh Israel dari Gaza dan akhirnya pembinaan semula Gaza.

“Resolusi diterima PBB mesti dikuat kuasa, kita sokong gencatan senjata dibuat, pembebasan tebusan dan hak rakyat Palestin kembali ke tanah air mereka dengan sempadan pra 1967 dan Baitulmaqdis timur ibu negara Palestin, lepas itu nak buat pilihan raya terpulang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.