
Ketua Polis Petaling Jaya Shahrulnizam Ja’afar berkata pihaknya menerima laporan insiden melibatkan dua suspek yang menaiki motosikal, membaling batu ke arah bas terbabit di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), menghala arah utara pada 8.49 malam semalam.
Beliau berkata suspek berusia 17 dan 20 tahun yang tidak mempunyai rekod jenayah itu, ditahan penyokong Perak yang menaiki bas tersebut dan dibawa ke IPD Sungai Buloh, sebelum diserahkan kepada pihak polis dan direman tiga hari bermula hari ini.
“Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu kes khianat, yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan.
Kejadian itu turut tular di media sosial, dengan sekurang-kurangnya terdapat dua video yang berdurasi 32 dan 14 saat memaparkan berlaku kekecohan di sebuah stesen minyak, melibatkan kedua-dua suspek dengan penumpang bas terbabit yang dipercayai penyokong Perak.
Difahamkan suspek berhenti untuk mengisi minyak motor di stesen minyak itu, selepas membaling batu ke arah bas berkenaan semasa di lebuh raya, namun berjaya dikesan penumpang bas terbabit sebelum bertindak untuk menahan kedua-dua suspek.