1 nelayan hilang bot terbalik dipukul ombak

1 nelayan hilang bot terbalik dipukul ombak

Seorang lagi nelayan sempat berpaut pada bot sebelum diselamatkan.

Op CARILAMAT
Operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan masih hilang bermula 7 pagi tadi dengan tambahan lima aset pelbagai agensi. (Gambar Maritim Selangor)
PETALING JAYA:
Seorang nelayan selamat, manakala seorang lagi hilang selepas bot mereka terbalik dipukul ombak ketika cuaca buruk di 1.8 batu nautika barat Pantai Acheh, Pulau Indah, Pelabuhan Klang, semalam.

Pengarah Maritim Selangor Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata difahamkan dua nelayan itu keluar ke laut menggunakan bot gentian kaca pada 8 pagi dan tidak memakai jaket keselamatan.

Katanya, Arnizam Ibrahim, 43, sempat berpaut pada bot sebelum diselamatkan bot pilot pelabuhan (Teguh 2), tetapi sepupunya Mohd Fazil Paijan, 36, masih hilang.

“Sebaik menerima laporan kehilangan mangsa, Maritim Malaysia mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) pada 5 petang semalam dan ditangguhkan 7.30 malam berikutan cuaca buruk serta keadaan gelap yang menyukarkan pencarian.

“Maritim Selangor membuka Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Marina Pulau Indah bagi menyelaraskan usaha Op Carilamat di sektor pencarian.

“Op Carilamat hari kedua bermula 7 pagi tadi dengan pertambahan lima aset pelbagai agensi seperti Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan sebuah pesawat polis AW 139 meliputi radius sektor pencarian 102 batu nautika persegi,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau menasihatkan komuniti maritim sentiasa peka dengan keselamatan di laut dan menitikberatkan faktor keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.