Sarawak sedia kongsi kos anjur Sukan SEA 2027

Sarawak sedia kongsi kos anjur Sukan SEA 2027

Abang Johari Openg berkata kerajaan pusat ada 'merisik' Sarawak sebagai hos bersama, dianggarkan kos penganjuran sekitar RM750 juta.

Premier Abang Johari Openg mencadangkan acara perasmian Sukan SEA diadakan di Sarawak.
KUCHING:
Sarawak sedia menjadi hos bersama untuk penganjuran Sukan SEA 2027 dan mencadangkan acara perasmian temasya itu diadakan di Bumi Kenyalang.

Premier Sarawak, Abang Johari Openg, berkata negeri itu juga bersedia berkongsi kos penganjuran Sukan SEA 2027 bersama kerajaan persekutuan.

“Kerajaan persekutuan ada ‘merisik’ Sarawak untuk menjadi hos bersama (Sukan SEA 2027), kita dimaklumkan kos serta bajet penganjuran ini adalah besar dan apa yang dicadangkan agar Sarawak boleh membantu.

“Kita (Sarawak) kata boleh (bersedia), tetapi upacara perasmian kita cadangkan untuk diadakan di Sarawak dan penutupan di Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Larian Baton Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 Bahagian Kuching.

Sebelum ini dilaporkan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang meneliti impak penganjuran Sukan SEA 2027 dan akan membentangkan keputusannya kepada Jemaah Menteri bulan depan, selepas Ahli Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada Mei 2022 sebulat suara bersetuju memberikan hak penganjuran kepada Malaysia.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu sebanyak enam kali iaitu pada 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017, dan semuanya berlangsung di Lembah Klang.

Sementara itu, Abang Johari berkata anggaran kos penganjuran Sukan SEA 2027 adalah kira-kira RM750 juta dan Sarawak bersedia membiayai separuh daripada jumlah tersebut.

“Kenapa kita sanggup? (Untuk menjadi hos bersama) kerana ini salah satu agenda untuk pembangunan bakat. Pembangunan bakat kita bukan hanya di bidang ekonomi semata-mata, tetapi juga di bidang sukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.