Rebut kawasan dadah punca kejadian pergelangan tangan putus ditemukan

Rebut kawasan dadah punca kejadian pergelangan tangan putus ditemukan

Pergaduhan dilaporkan melibatkan lebih 20 individu, termasuk mangsa yang putus pergelangan tangan kirinya.

Abang Zainal Abidin Ahmad
Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai pergaduhan itu pada 11.03 pagi tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penemuan pergelangan tangan manusia berhampiran jalan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan, hari ini terjawab setelah polis mengesahkan berlakunya pergaduhan antara lebih 20 individu di lokasi kejadian.

Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan pergaduhan yang menyebabkan kecederaan parah terhadap tiga lelaki berusia 26 hingga 30 tahun itu pada 11.03 pagi.

“Siasatan mendapati mangsa pertama mengalami kecederaan hampir putus pergelangan tangan kiri, mangsa kedua putus pergelangan tangan kiri manakala mangsa ketiga putus urat di tapak tangan kiri,” katanya, lapor Bernama.

Menurut Abang Zainal Abidin, mangsa yang cedera dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Katanya, ketiga-tiga lelaki itu menyatakan mereka diserang oleh kira-kira 20 lelaki yang bertopeng serta bersenjatakan kayu dan parang.

Pergaduhan itu dipercayai akibat perebutan kawasan dadah, tambahnya.

“Polis menahan tiga lelaki berusia antara 23 hingga 37 tahun disyaki suspek bagi membantu siasatan.

“Kesemuanya akan dibawa ke Mahkamah Majistret esok untuk permohonan reman,” katanya.

Abang Zainal Abidin berkata, polis sedang mengesan suspek lain yang masih bebas dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 serta Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Mohamad Syafiq Ghazali menerusi talian 013-7962051 atau mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

Terdahulu dilaporkan bomba menemukan pergelangan tangan manusia yang terputus di lokasi sebuah kereta terbakar di Tanjung Rambutan hari ini.

Di tempat kejadian, bomba mendapati sebuah Toyota Vios, yang nombor pendaftarannya tidak diperoleh, sudah terbakar 95%.

Selain itu, sebuah Proton Saga dan Honda Accord yang dipercayai terbabit dengan pelanggaran turut berada di lokasi kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.