
Timbalan perdana menteri itu berkata prinsip tersebut perlu dipegang, bagi memperkukuhkan Umno Sabah di semua peringkat dalam menghadapi PRN Sabah ke-17 akan datang.
“Soal kita mahu kerjasama dengan siapa itu jangan kira. Jangan berunding ketika kita lemah, pegang ini. Kita hanya berunding bila kita ada kekuatan.
“Bina kekuatan dahulu baharu kita berunding, insya-Allah orang yang berunding itu akan bersama-sama dengan kita, tiada akan ikut orang yang lemah,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Kimanis di Bongawan.
Turut hadir Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin dan Ketua Umno Bahagian Kimanis Mohamad Alamin yang juga timbalan menteri luar.
Zahid berkata beliau optimis, Umno mampu kembali dominan dalam arena politik Sabah berdasarkan kepada sokongan padu serta keyakinan diberikan oleh ahli-ahlinya, yang dilihat sepanjang merasmikan empat mesyuarat bahagian Umno negeri itu, sejak semalam.
Oleh itu, beliau menggesa pemimpin Umno Sabah supaya tidak hanya menggunakan kebijaksanaan dalam merangka strategi, tetapi juga memberi sepenuh komitmen bagi menebus dan mengembalikan semula maruah parti dalam PRN akan datang.
Dalam pada itu, Zahid turut mengingatkan semua pemimpin dan ahli Umno supaya sentiasa istiqamah dengan perjuangan dan berpendirian teguh serta mengutamakan parti.
“Jangan pernah jadi lalang. Mesti ada pendirian. Kita utamakan parti dahulu. Soal tawaran itu kemudian,” katanya.