Azeem, Shereen terlepas layak secara merit ke Olimpik

Azeem, Shereen terlepas layak secara merit ke Olimpik

Pelari pecut negara gagal menghasilkan keputusan diinginkan pada Kejohanan Terbuka Kazakhstan semalam.

azeem sheeren
Muhammad Azeem Mohd Fahmi perlu menembusi kelompok 56 sementara Shereen Samson Vallabouy 48 pelumba terbaik dalam kemas kini ranking kelayakan Olimpik dijangka diumum esok.
KUALA LUMPUR:
Dua pelari pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy terlepas peluang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 secara merit selepas gagal menghasilkan keputusan diinginkan pada Kejohanan Terbuka Kazakhstan semalam.

Kejohanan itu adalah peluang terakhir buat kedua-dua pelari melayakkan diri secara merit menerusi kedudukan ranking kelayakan Olimpik selepas masing-masing tidak berjaya layak secara automatik sebelum ini.

Azeem yang turun dengan misi untuk muncul juara selain perlu mencatat 10.20s bagi melonjakkan rankingnya terpaksa akur apabila sekadar meraih tempat ketiga dengan catatan 10.37s pada aksi final di Pusat Latihan Olimpik Almaty.

Tempat pertama diraih jaguh pecut Thailand Puripol Boonson dengan catatan 10.23s diikuti Kayhan Ozer dari Turki yang meraih perak menerusi catatan 10.25s.

Dalam pada itu, Shereen muncul juara saingan 400m dengan catatan 52.60s meninggalkan atlet tuan rumah Anna Shumilo (56.01s) dan Milana Zubareva (57.80s), namun gagal dalam misi memecahkan rekod kebangsaan 51.79s miliknya.

Azeem perlu menembusi kelompok 56 sementara Shereen 48 pelumba terbaik dalam kemas kini ranking kelayakan Olimpik yang dijangka diumum esok.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Robert J Ballard menyifatkan kedua-dua pelari pecut negara mempamerkan semangat juang tinggi bagi melayakkan diri secara merit ke Paris.

“Malangnya kedua-dua mereka tidak dapat melayakkan diri secara terus ke Sukan Olimpik Paris. Tetapi perlu difahami dianggarkan hanya 30 atlet di dunia setakat ini memenuhi kriteria secara merit dalam acara masing-masing,” katanya ketika dihubungi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.