SPRM lancar bilik gerakan PRK Sungai Bakap

SPRM lancar bilik gerakan PRK Sungai Bakap

Bilik gerakan itu beroperasi di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang dan pejabat SPRM cawangan Seberang Perai.

penang macc
Satu daripada bilik gerakan PRK Sungai Bakap beroperasi di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang mula hari ini.
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan bilik gerakan pilihan raya bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa pada PRK DUN Sungai Bakap.

Dalam kenyataan, SPRM memaklumkan bilik gerakan itu beroperasi di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang dan pejabat SPRM cawangan Seberang Perai.

“Bilik gerakan ini beroperasi 24 jam hingga 6 Julai. Selain itu, orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui e-mel kepada [email protected] atau hubungi talian 04 2299262 sambungan 1107,” menurut kenyataan itu.

SPRM turut mengingatkan semua calon dan parti politik yang bertanding tidak melakukan aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya selaras Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki cawangan utara Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga naib ketua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

SPR menetapkan hari mengundi awal bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 2 Julai ini, manakala 5 Julai hari mengundi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.