
Walaupun pengarah pilihan raya PN mengakui kelulusan akademik juga penting, beliau mendakwa ramai pemimpin politik negara tidak mempunyai kriteria itu namun berjaya dalam tugas.
“Tapi kena ada kelulusan akademik juga. Ramai wakil rakyat sekarang ini tak ada PhD (ijazah doktor falsafah), saya tak ada PhD, tak ada ijazah sarjana,” katanya menurut Berita Harian di Nibong Tebal.
Katanya, Abidin disifatkan calon terbaik PN pada PRK Sungai Bakap kerana ‘berjaya dalam tugas’ di kawasan itu.
“Disebabkan itu kita melihat kesesuaian di sini adalah dia (Abidin). Kekuatan akademik itu calon satu lagi, jadi biar dia tonjolkan,” katanya yang juga menteri besar Kedah.
Dilaporkan, kelayakan akademik Abidin, 56, dipersoal ramai pihak berikutan kelulusannya tidak dipamer pada poster berbanding calon Pakatan Harapan, Joohari Ariffin, 60, yang memiliki kelayakan PhD.
PRK Sungai Bakap menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Joohari yang juga bekas pengarah Institut Aminuddin Baki cawangan utara dan Abidin, timbalan ketua PAS Nibong Tebal.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang merupakan ketua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai sebagai hari mengundi, manakala pengundian awal 2 Julai.