‘Saya akan pertahan’, Azizi jawab minat Umno tanding Nenggiri

‘Saya akan pertahan’, Azizi jawab minat Umno tanding Nenggiri

Kelmarin, Umno Kelantan membayangkan mahu mewakili kerajaan perpaduan jika PRK Nenggiri diadakan dan tidak beri laluan kepada penyandang Mohd Azizi Abu Naim.

Pada PRN lalu Mohd Azizi Abu Naim yang bertanding bawah logo PAS menewaskan calon BN Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penyandang DUN Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim mahu mempertahankan kedudukannya jika berlaku PRK, di sebalik pendirian Umno iaitu ‘sekutunya’ dalam kerajaan perpaduan kini yang turut mengintai kerusi itu.

Namun, ketika ini Azizi mahu memfokuskan terlebih dahulu kepada proses permohonannya di mahkamah untuk mencabar pengisytiharan pengosongan kerusi itu berkuat kuasa Rabu lalu oleh Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah.

“Insya-Allah saya akan pertahankan kerusi itu (DUN Nenggiri jika PRK diadakan),” katanya kepada FMT namun tidak mendedahkan parti akan diwakilinya.

Amar mengisytiharkan pengosongan kerusi itu kerana Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang didapati bukan lagi ahli Bersatu.

Beliau antara wakil rakyat Bersatu yang terlucut keahlian kerana gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu untuk menzahirkan ikrar taat setia, sebaliknya terus menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen lain yang menyokong Anwar terdiri Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Turut terlucut keahlian, Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari yang gagal menjawab surat arahan itu selain kekal menyokong pentadbiran Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Keahlian Ahi Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman pula terlucut kerana memfailkan saman ke atas Bersatu pada 19 Dis tahun lalu.

Sejurus pengisytiharan kekosongn kerusi DUN Nenggiri, Timbalan Ketua Penerangan Umno Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor membayangkan parti itu mahu mewakili kerajaan perpaduan jika PRK diadakan dan tidak memberi laluan kepada Azizi.

Semalam, Presiden Umno Zahid Hamidi turut menyatakan kesediaan parti itu bertanding namun pada masa sama sedia berunding dengan Azizi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Jumaat depan untuk membincangkan pelaksanaan PRK DUN Nenggiri.

Pada PRN lalu, Azizi yang bertanding bawah logo PAS menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.