MIC turun kempen calon PH di PRK Sg Bakap

MIC turun kempen calon PH di PRK Sg Bakap

Presiden MIC SA Vigneswaran berkata jentera parti itu akan cuba sedaya upaya meraih undi masyarakat India di DUN itu.

vigneswaran
Presiden MIC SA Vigneswaran berkata MIC tidak membuka bilik gerakan pada PRK itu tetapi akan bekerja di bilik gerakan Barisan Nasional. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
MIC akan turun padang berkempen bagi calon Pakatan Harapan (PH) yang mewakili kerajaan perpaduan Joohari Ariffin pada PRK DUN Sungai Bakap.

Presiden MIC SA Vigneswaran berkata jentera parti itu akan cuba sedaya upaya meraih undi masyarakat India di DUN itu yang merangkumi lebih 17% daripada jumlah keseluruhan pengundi.

“Pada PRK ini, walaupun kita tidak membuka bilik gerakan sendiri tetapi kita akan bekerja di bilik gerakan Barisan Nasional,” katanya kepada pemberita semasa penamaan calon jawatan tertinggi MIC.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi PRN 2023, DUN Sungai Bakap mempunyai 38,409 pemilih dengan 59.36% pengundi Melayu, 22.54% (Cina), 17.39% (India) dan 0.71% lain-lain.

PRK itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Joohari yang merupakan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara dan calon Perikatan Nasional iaitu bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

SPR menetapkan hari mengundi awal bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 2 Julai ini manakala 6 Julai ialah hari mengundi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.