Melaka dapat tambahan RM21 juta naik taraf projek agropelancongan

Melaka dapat tambahan RM21 juta naik taraf projek agropelancongan

Kerja naik taraf bagi 6 projek terbabit dijangka siap secara berperingkat pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.

Melaka menerima peruntukan tambahan RM21 juta daripada KPKM untuk menggiatkan industri agropelancongan, menurut exco Dr Akmal Saleh. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Kerajaan negeri menerima peruntukan tambahan RM21 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menaik taraf enam projek dalam usaha memperhebatkan industri agropelancongan di negeri itu.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Akmal Saleh berkata, antara projek terbabit termasuk Melaka Tropical Fruit Farm (MTFF) di Sungai Udang, Kolam Penternakan Ikan Kelah di Brisu, Taman Laut Melaka, serta pembangunan semula ladang rusa dan ladang ragut rumput lembu di Sungai Rambai.

“Kerja-kerja naik taraf kesemua enam projek itu sedang giat dijalankan dan dijangka siap secara berperingkat pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.

“Usaha menaik taraf kesemua projek itu dijangka akan memberi impak yang besar pada industri agropelancongan Melaka.

“Selain itu, (ia dapat) membantu merancakkan sektor pelancongan negeri dan meningkatkan ekonomi rakyat serta pemain industri terlibat,” katanya selepas merasmikan Melaka Agrofest 2024 di Dataran Sejarah, Ayer Keroh, yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

Dalam perkembangan lain, Akmal berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk melatih 100 anak Melaka dalam industri penanaman buah ‘rock melon’ menerusi Program ‘Melon to Million’ bawah peruntukan khas KPKM.

Katanya, program berkonsepkan ‘mentor mentee’ itu akan dijalankan dengan kerjasama pengusaha ‘rock melon’ dari Selangor.

Program itu bukan sahaja melatih peserta menjadi usahawan berjaya secara percuma, malah mereka juga diberi elaun sepanjang latihan, benih, peralatan serta tanah untuk kegiatan penanaman, tambahnya.

“Daripada 100 peserta itu, kita akan mencari 10 yang terbaik bagi mengusahakan tanaman berkenaan secara lebih meluas,” katanya.

“Mereka juga akan diberi tanah untuk mengusahakan tanaman buah tersebut, selain dibantu daripada pelbagai aspek, termasuk membeli semula (hasil) tanaman sekali gus menjadi petani kontrak bagi penanaman (‘rock melon’).”

Terdahulu, beliau berkata, Melaka Agrofest 2024 menyasarkan nilai jualan RM1 juta dengan jumlah pengunjung seramai 30,000 dalam tempoh tiga hari festival itu dianjurkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.