
Menteri sains, teknologi dan inovasi itu berkata, Malaysia sedia menyertai kumpulan itu kerana dilihat akan memberi banyak manfaat kepada negara, termasuk berkaitan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor E&E.
“Kita masih mengekalkan ‘neutrality’ … permintaan untuk sertai BRICS adalah untuk manfaat bersama sebab ada sembilan negara (menganggotainya), merangkumi 45% populasi dunia,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kesediaan Malaysia menyertai BRICS.
“Ini satu pasaran yang sangat besar dan kita harap kita dapat peluang untuk akses ke dalam pasaran ini … saya tak lihat sertai BRICS sebagai menukar pendirian dalam bersikap neutral, kita masih neutral tetapi sertai BRICS untuk dapat manfaat ekonomi.”
Terdahulu, beliau menghadiri program peluncuran Pusat Inovasi Teknologi Industri (ITIC), perasmian Konsortium Penyelidikan Semikonduktor dan Akademi Mimos di Kulim High-Tech Park.
Dalam pada itu, Chang berkata, penyertaan dalam blok ekonomi BRICS hanyalah salah satu penyertaan dalam platform multilateral selain Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), dan sebagainya.
“Bukan sahaja Malaysia tetapi banyak negara turut berminat menyertai BRICS, termasuklah Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi,” katanya.