
Menteri pengangkutan itu berkata, keputusan itu dibuat berikutan jumlah syarikat perkapalan dan kegiatan pembinaan kapal yang tinggi di negeri itu.
“Atas permintaan kerajaan Sarawak, (kerajaan persekutuan) bersetuju mengembalikan semula dasar kabotaj untuk menyokong pertumbuhan industri perkapalan domestik di Sarawak,” katanya pada sidang media di West Port, Pelabuhan Klang, hari ini, lapor Bernama.
Loke berkata, susulan pengecualian dasar kabotaj pada Jun 2017, wujud salah tanggapan bahawa kapal asing tidak dibenarkan terus berlabuh di pelabuhan Sabah dan Sarawak.
“Sebelum ini, terdapat dasar yang menetapkan Pelabuhan Klang sebagai pusat muatan nasional tetapi saya telah jelaskan, kita tidak lagi guna dasar ini … kapal asing kini boleh berlabuh di mana-mana pelabuhan di negara ini,” katanya.
Dasar kabotaj melibatkan perkapalan tempatan antara pelabuhan di Semenanjung Malaysia dan di Sabah dan Sarawak, serupa dengan peraturan syarikat penerbangan tempatan, jelasnya.
“Contohnya, syarikat penerbangan antarabangsa tidak dibenarkan mengendalikan penerbangan antara Kuala Lumpur dan Kuching, Sarawak; hanya syarikat penerbangan Malaysia boleh menyediakan perkhidmatan tersebut,” kata Loke.
“Bagaimanapun, syarikat penerbangan antarabangsa boleh mengendalikan penerbangan terus ke Sabah dan Sarawak, seperti Singapore Airlines melakukan penerbangan ke Kuching, atau syarikat penerbangan dari China dan Korea Selatan yang mempunyai perkhidmatan penerbangan ke Kota Kinabalu.”
Menurut Loke, langkah memperkenalkan semula dasar kabotaj di Sarawak bermakna hanya pengendali kapal tempatan akan dibenarkan mengangkut barangan antara Semenanjung Malaysia, serta Sabah dan Sarawak.
“Dasar ini, yang diminta oleh kerajaan Sarawak, bertujuan melindungi syarikat perkapalan tempatan dan meningkatkan keyakinan mereka untuk melabur dalam kapal baharu untuk pasaran tempatan,” katanya.
Loke berkata, pengecualian dasar kabotaj pada 2017 membenarkan kapal asing mengangkut barangan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak, namun ia tidak membantu mengurangkan harga barangan pengguna di negeri-negeri tersebut, termasuk di Labuan.
“(Malah) pengecualian itu memberi kesan negatif kepada industri perkapalan domestik kerana membuka persaingan kepada pengendali kapal asing.
“Banyak syarikat perkapalan tempatan tidak dapat bersaing sehingga menyebabkan mereka menghentikan operasi,” katanya.