
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Jawahar Ali Taib Khan, berkata penurunan harga telur baru-baru ini tidak akan memberi kesan besar pada harga makanan di restoran.
“Kami masih lagi menyerap lain-lain kos kenaikan barang buat masa ini,” katanya kepada FMT. “Harapan kami kerajaan dapat pertimbangkan lain-lain barang asas untuk keperluan restoran itu juga dapat dikaji untuk pengurangan.”
Kerajaan pada 17 Jun lalu memutuskan harga runcit telur ayam gred A, B, dan C turun 3 sen sebiji, selaras usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat.

Jawahar berkata kebimbangan ketika ini ialah kos logistik kenderaan yang membawa bahan mentah untuk restoran, susulan penyasaran subsidi diesel.
Menurutnya, pengurangan harga barangan asas secara tidak langsung akan membantu pengusaha mengelak menaikkan harga makanan.
“Sebolehnya kita cuba kekalkan harga sedia ada dan menjamin tiada ada kenaikan dalam masa terdekat dan panjang. Itu saya rasa lebih penting,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata syor mempertimbangkan beberapa tambahan jenis kenderaan pengangkutan barangan dalam senarai layak menikmati subsidi diesel akan diangkat segera untuk pertimbangan Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel.
Ketika ini, 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan menikmati diesel bersubsidi melalui penggunaan kad fleet bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Kenderaan logistik berkelayakan akan menggunakan kaedah kad fleet bagi membendung kesan terhadap harga barangan pengguna, ditetapkan pada harga RM2.15 seliter.
Dalam pada itu, Jawahar percaya memperkenalkan ‘harga premium’ untuk makanan akan mengurangkan jumlah pelanggan.
“Kalau niat kita nak menjaga pelanggan dengan harga berpatutan, lebih ramai lagi pelanggan akan datang. Ia lebih baik berbanding menjual dengan harga premium tapi pelanggan kurang,” katanya.