Penyeludup petrol lepas tembakan ke arah anggota Kastam

Penyeludup petrol lepas tembakan ke arah anggota Kastam

Kejadian berlaku ketika anggota terbabit melakukan operasi membanteras penyeludupan petrol dan disesel di Tumpat, Kelantan.

Menurut Pengarah Kastam Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, tiga das dilepaskan oleh penyeludup ke arah anggotanya ketika operasi Rabu lalu. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Seorang penyeludup lelaki telah melepaskan tiga das tembakan ke arah anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, ketika operasi penguatkuasaan membanteras penyeludupan petrol dan disesel berhampiran pangkalan haram Pok Mat, Kampung Simpangan di Tumpat, pada Rabu.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata ketika kejadian 9.45 pagi itu, lima anggota kastam yang melakukan tugas harian rondaan air, menemukan kira-kira 15 buah bot berenjin galah sedang memunggah barangan yang dipercayai minyak petrol dan diesel.

Beliau berkata anggota rondaan itu kemudiannya bertindak menghampiri salah sebuah bot berenjin galah yang sarat dengan muatan tong itu di tebing pangkalan tersebut, sebelum seorang pegawai kastam melompat masuk ke dalam bot galah berkenaan.

“Pada masa sama, penyeludup yang berada di atas bot itu, terus bertindak melarikan diri dengan melompat ke bot rakannya yang datang membantu serta mengacukan pistol ke atas anggota kastam, sebelum bertindak melarikan diri menuju ke tengah-tengah sungai menghala ke Thailand.

“Penyeludup itu kemudiannya melepaskan dua das tembakan iaitu satu ke udara dan satu ke aras pihak kastam, sebelum melepaskan satu das tembakan lagi ke arah pasukan operasi, semasa mereka menarik bot kes yang ditahan membuat pusingan ke arah Kuala Tak Bai, untuk dibawa balik ke pejabat kastam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Jamal berkata pasukan operasi penguatkuasaan telah mempercepatkan bot jabatan untuk berpusing, sehingga menyebabkan bot yang sarat dengan minyak petrol itu tenggelam dan telah bertindak memotong tali bot enjin galah tersebut, sebelum bergerak meninggalkan lokasi itu bagi memastikan keselamatan pegawai.

“Semua pasukan operasi dapat menyelamatkan diri dari ancaman tembakan ugutan yang dilakukan oleh penyeludup.

“Cabaran dan halangan semasa menjalankan tugas penguatkuasaan itu, satu rutin yang perlu JKDM tempuhi demi menjaga keselamatan dan mengawal ketirisan hasil negara, malah ancaman seperti ini tidak pernah melunturkan semangat pihaknya untuk terus komited dalam menguatkuasakan undang-undang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.