
Neow yang tiba kira-kira jam 11.30 pagi selesai memberi keterangan dalam 30 minit.
Beliau turut ditemani Timbalan Ketua Biro Perundangan Pemuda MCA Andy Teoh dan Timbalan Ketua Biro Pengaduan & Perkhidmatan Awam Pemuda MCA Chung Kok Heung.
Neow berkata beliau diminta hadir selepas laporan polis dibuat terhadapnya oleh Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng dari DAP berikutan hantaran di Facebook berhubung kartel JMB.
“Kes ini bukanlah berunsur fitnah atau mahu malukan sesiapa, kes ini memang wujud.. bagi saya sebagai seorang Ahli Parlimen beliau sepatutnya menjelaskan isu ini kerana turut membabitkan seorang pegawai khas kepada beliau.
“Jika ada perkara yang tidak betul, maka jawab secara terbuka bukan dengan melaporkan kepada polis terhadap saya yang menanyakan kepada beliau bagi pihak orang awam,” katanya di luar perkarangan IPD Sentul.
Sebelum ini, FMT melaporkan penduduk sebuah kondominium berstatus strata di Mont Kiara, Kuala Lumpur, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan ‘penyelewengan dan salah guna kuasa’ oleh jawatankuasa pengurusan bersama (JMB) kediaman itu.
Wakil penduduk, Dzulhilman Sulaiman, mendakwa pengurusan JMB yang baru dilantik 18 bulan lalu dipercayai menganugerahkan kontrak penyelenggaraan bernilai RM3.3 juta tanpa proses tender kepada syarikat tidak bertauliah dan tidak pernah diaudit sejak 2013.
Laporan dibuat Dzulhilman itu menyusul penularan dakwaan ‘kartel JMB’ yang mula didedahkan MCA. ‘Kartel’ berkenaan didakwa mencampuri urusan pelantikan kepimpinan JMB dan perbadanan pengurusan bersama (JMC).
Mengulas lanjut, Neow berkata sekiranya Lim berpendapat dakwaan itu tidak benar, beliau boleh mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
“Sekiranya beliau merasakan kenyataan saya bertanya mengenai dakwaan skandal ini bersifat fitnah maka perkara ini boleh dibawa ke proses perundangan dan beliau boleh saman saya.
“Janganlah guna kuasa polis semata-mata nak buka kertas siasatan terhadap saya yang berniat hanya nak bersuara bagi pihak rakyat khususnya penduduk kondominium di Mont Kiara,” katanya.