Inisiatif cegah, kawal kanser paru-paru akan dibangun

Inisiatif cegah, kawal kanser paru-paru akan dibangun

Inisiatif ini juga akan memperkukuh kawalan penggunaan produk tembakau, risiko utama kanser paru-paru, kata menteri kesihatan.

dzulkefly
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berucap merasmikan pelancaran Kongres Kanser Kebangsaan Malaysia (NCCM) 2024 di Universiti Sunway hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia sedang berusaha membangunkan Inisiatif Kesihatan Paru-Paru sebagai sebahagian daripada Pelan Strategik Kebangsaan bagi Program Kawalan Kanser 2021 hingga 2025, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Inisiatif ini membabitkan sektor awam dan swasta yang berganding bahu untuk mencegah serta mengawal kanser paru-paru.

“Kanser paru-paru ialah kanser ketiga paling biasa di Malaysia, yang mana 95% daripada kes didiagnosis pada peringkat akhir, iaitu tahap ketiga atau keempat,” katanya ketika merasmikan pelancaran Kongres Kanser Kebangsaan Malaysia (NCCM) 2024 di Universiti Sunway.

“Inisiatif ini juga akan memperkukuh kawalan penggunaan produk tembakau termasuk rokok elektrik yang menjadi risiko utama kanser paru-paru terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja,”

Merujuk Laporan Globocan 2020 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Dzulkefly berkata, dianggarkan sejumlah 19.3 juta kes baharu kanser adalah dari segi kejadian, 9.9 juta kematian dan 50 juta orang menghidap kanser dalam tempoh lima tahun selepas diagnosis.

Katanya, Malaysia tidak terkecuali kerana jumlah kes kanser yang dilaporkan meningkat sebanyak 46.5% bagi tempoh 2017 hingga 2021, berbanding 2012 hingga 2016.

“NCCM 2024 selari dengan Pelan Strategik Kebangsaan kita bagi Program Kawalan Kanser 2021-2025 dengan menangani pencegahan dan kawalan kanser dari sudut pandangan yang holistik,” katanya.

“Dengan memupuk kerjasama dan pertukaran pengetahuan dalam kalangan pakar serta pihak berkepentingan, kongres ini sudah pasti akan menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan strategi kawalan kanser kebangsaan kita.”

Kongres tiga hari yang bermula hari ini dan berakhir pada Ahad menawarkan platform khusus bagi perbincangan mendalam dan pertukaran pengetahuan dalam kalangan penceramah antarabangsa yang terkenal, profesional penjagaan kesihatan, penggubal dasar serta penyelidik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.