
Adun Padungan itu berkata Gabungan Parti Sarawak yang mentadbir Sarawak kini berpeluang untuk menunjukkan ia tidak mengamalkan dasar-dasar berasaskan kaum.
“Saya menggesa kerajaan negeri menunjukkan teladan dengan beralih daripada dasar berasaskan kaum kepada dasar berasaskan merit.
“Dasar-dasar ekonomi berasaskan kaum tiada tempat di Sarawak,” katanya di Facebook.
Chong berkata pimpinan GPS memegang jawatan timbalan perdana menteri dan lima menteri persekutuan, bahkan gabungan itu mempunyai pengaruh yang kuat ke atas kerajaan persekutuan.
“GPS mampu menentukan pelaksanaan dasar-dasar persekutuan di Sarawak, memandangkan ia menjadi penentu dalam pembentukan kerajaan persekutuan,” katanya.
Chong mengambil contoh langkah Putrajaya membenarkan Sabah dan Sarawak menentukan pelaksanaan sebarang projek prasarana di bawah RM50 juta di wilayah masing-masing, seperti yang diumumkan pada Januari.
Dasar AP baharu itu diumumkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri pada Selasa lepas.
Mulai 1 Julai, mana-mana syarikat Bumiputera termasuk yang tidak pernah terbabit dalam aktiviti automotif boleh memohon untuk dilantik sebagai syarikat AP Terbuka, bagi menceburi aktiviti pengimportan kenderaan.
Kementerian dilapor berkata dasar ini dijangka akan menarik lebih banyak syarikat Bumiputera untuk berkecimpung dalam industri automotif, dan menjadikan segmen itu lebih berdaya saing.
Syarikat berminat tertakluk kepada syarat utama iaitu berstatus Sendirian Berhad; pemilikan 100% Bumiputera; mempunyai modal berbayar minimum RM1 juta, dan sedang beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun.