Buat sangkaan jahat, usul rujuk Wan Saiful ke jawatankuasa Parlimen Isnin ini

Buat sangkaan jahat, usul rujuk Wan Saiful ke jawatankuasa Parlimen Isnin ini

Sebelum ini, Wan Saiful Wan Jan mendakwa ada individu yang konon bertindak bagi kerajaan boleh memanipulasi untuk membatal atau menggugur pertuduhan kes mahkamahnya.

Wan Saiful Wan Jan dari PN kini berdepan tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan projek Jana Wibawa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Satu usul untuk merujuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dari Perikatan Nasional (PN) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin ini.

Usul berkenaan berkait tuduhan Wan Saiful bahawa pertuduhan kes mahkamah terhadapnya boleh dibatalkan dan digugurkan pada sidang Dewan Rakyat, 21 Mac lalu.

Menurut Aturan Mesyuarat bertarikh 24 Jun disiarkan di laman sesawang Parlimen, usul nombor satu itu akan dibawa menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selepas sesi pertanyaan lisan.

Bagaimanapun, dokumen aturan mesyuarat itu tidak memperincikan menteri khusus yang akan membawa usul terbabit.

“Dewan yang mulia ini memandang serius kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor di mana secara tersirat telah mendakwa bahawa ada individu yang konon bertindak bagi kerajaan boleh memanipulasi untuk membatal atau menggugur pertuduhan kes mahkamah terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor.

“Perbuatan ini telah menunjukkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor menyebut perkara sedang dalam timbangan mahkamah dan boleh dianggap merosakkan kepentingan pihak-pihak yang berbicara dalam kes tersebut,” menurut menteri JPM .

“Maka ini dipersetujui Tasek Gelugor hendaklah dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan untuk membuat penentuan sama ada kenyataan dibuat olehnya dalam dewan itu mengelirukan dan merosakkan kepentingan pihak berbicara dalam kes tersebut dan mengambil apa-apa keterangan difikirkan perlu.”

Jawatankuasa itu kemudian perlu membuat syor untuk pertimbangan dewan.

Pada 22 Mac lalu, Ahli Parlimen Tanjong Karang Dr Zulkafperi Hanapi memfailkan usul bagi merujuk Wan Saiful ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, selepas pemimpin Bersatu itu membuat sangkaan jahat terhadapnya dengan mendakwa dirinya sebagai ‘ejen’ yang memujuk dan menyogok Ahli Parlimen PN untuk menyokong kerajaan.

Sehari sebelum itu, Wan Saiful mendakwa Zulkafperi dan Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim bersama tiga lagi individu dikenali sebagai Hasnan, Datuk Azman serta Datuk Rahim membuat kacau ganggu dalam usaha mempengaruhi kelakuan dan sokongan beliau kepada kerajaan.

Wan Saiful kini berdepan tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan projek Jana Wibawa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada aktiviti haram 2001.

FMT sedang mendapatkan maklum balas Wan Saiful mengenai perkembangan terbaharu berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.