

Pengasas syarikat itu termasuk Wan Wardatul Amani Wan Salim iaitu wanita pertama negara terbabit dalam program penghantaran penyelidikan ke angkasa dalam misi agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (Nasa), Amerika Syarikat (AS) ke planet Marikh.
Grafin adalah molekul terdiri daripada satu lapisan atom karbon yang tersusun membentuk struktur heksagonal seperti sarang lebah.
Menerusi teknologi dibangunkan syarikat ditubuhkan pada 2019 itu, semua produk menggunakan semikonduktor antaranya komputer riba dan telefon pintar boleh dijana kuasanya dengan cepat manakala jangka hayat baterinya lebih lama.

Bercakap kepada FMT, Amani berkata ketika ini hampir semua mikrocip menggunakan semikonduktor daripada silikon yang mempunyai had, membuatkan ramai saintis berlumba-lumba menghasilkan teknologi lebih canggih.
Beliau menjelaskan, menerusi teknologi itu mereka akan menyusun grafin pada skala besar dilekatkan atas substrat (permukaan) tertentu yang kemudian digunakan untuk menghasilkan pelbagai peralatan.
“Teknologi kami hasilkan ini telah matang dan NanoSkunkWorkX bersedia bekerjasama dengan syarikat dalam atau luar negara untuk membawanya ke industri.
“Kita perkenalkannya supaya Malaysia tidak bergantung dengan teknologi luar, ini alternatif bagi melengkapkan nilai rantaian semikonduktor tempatan,” kata Amani.

Iqbal Shamsul yang turut mengasaskan syarikat pemula itu pula menjelaskan kelajuan mikrocip dapat digandakan dengan menggunakan teknologi terbabit kerana tidak panas.
“Bila tidak panas boleh cepatkan (kelajuan semikonduktor) lagi, selain bateri pula boleh bertahan selama seminggu kerana telah letak grafin,” katanya.
NanoSkunxWorks sebelum ini juga berjaya menghasilkan kit ujian pantas boleh mengesan virus Covid-19 setepat hasil di makmal yang pertama di dunia.