
Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak, berkata wanita berusia 50 tahun itu yang ditahan semalam, dibebaskan selepas diambil keterangan.
“Pemandu tersebut (mendakwa) mengatakan tidak nampak mangsa (berada di hadapan van) ketika kejadian, sebab abang mangsa dilihat keluar dan melalui belakang van, lalu berada di pagar rumah dan menyangka mangsa turut mengikut abangnya itu.
“Bagaimanapun, mangsa mungkin berada di hadapan van setelah pemandu itu merasakan melanggar sesuatu, namun mangsa tidak diseret,” katanya pada sidang media di IPD Seri Alam.
Sohaimi berkata, hasil siasatan mendapati pemandu tersebut tidak mempunyai rekod saman trafik dan beroperasi sebagai pemandu van sekolah secara sah.
Beliau berkata ibu mangsa berusia 39 tahun turut diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Pada kejadian 11.35 pagi semalam, kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu maut selepas dilanggar van sekolah dinaikinya, setelah mangsa dan abangnya yang berusia enam tahun diturunkan di hadapan rumah mereka.