Masih tunggu notis Bersatu, speaker Selangor belum putus status kerusi Selat Klang

Masih tunggu notis Bersatu, speaker Selangor belum putus status kerusi Selat Klang

Speaker DUN Selangor Lau Weng San berkata beliau akan membuat keputusan mengikut Perlembagaan Selangor selepas menerima notis.

Lau Weng San enggan melayan desakan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung status kerusi DUN Selat Klang.
PETALING JAYA:
Kedudukan Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari belum boleh diputuskan kerana tiada notis diterima daripada Bersatu berhubung status keahlian dan permohonan mengosongkan kerusi setakat ini, kata speaker DUN Selangor.

Sehubungan itu, Lau Weng San enggan melayan desakan supaya beliau mengikut keputusan Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah mengisytiharkan kekosongan DUN Nenggiri disandang Mohd Azizi Abu Naim, semalam.

“Sehingga saat ini saya masih belum terima surat atau notis Bersatu (berhubung kedudukan keahlian Rashid).

“Soal ikut perlu ikut Kelantan atau tidak, saya tak boleh komen lagi…kena tunggu surat dahulu baru boleh buat keputusan ikut perlembagaan Selangor,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menggesa speaker Dewan Rakyat dan DUN Selangor mengikuti jejak langkah Mohd Amar mengisytiharkan kekosongan kerusi Nenggiri.

Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang antara wakil rakyat Bersatu terlucut keahlian kerana mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen lain yang menyokong Anwar terdiri Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Rashid pula menyokong pentadbiran Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Mereka gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia.

Keahlian Wakil rakyat Labuan Suhaili Abdul Rahman pula terhenti kerana memfailkan saman ke atas Bersatu pada 19 Dis tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.