Malaysia, China setuju selesai pertikaian Laut China Selatan secara aman

Malaysia, China setuju selesai pertikaian Laut China Selatan secara aman

Dalam kenyataan bersama kedua-dua negara bersetuju menyelesaikan pertikaian itu menerusi perbincangan dan rundingan mesra.

Kapal TLDM
Malaysia dan China turut menekankan kepentingan mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Malaysia dan China bersetuju untuk menyelesaikan pertikaian di Laut China Selatan secara aman, melalui perbincangan dan rundingan mesra, selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal, termasuk Konvensyen PBB 1982 mengenai undang-undang Laut.

Dalam menekankan kepentingan mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan, kedua-dua pihak akan melancarkan dialog dua hala mengenai pengurusan isu maritim seawal mungkin untuk memupuk perbincangan dan kerjasama maritim.

“Kedua-dua pihak bekerjasama dengan negara Asean lain untuk melaksanakan sepenuhnya dan berkesan Deklarasi Kod Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) secara keseluruhan dan menantikan kesimpulan awal Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang berkesan dan substantif,” menurut kenyataan bersama China dan Malaysia.

Selain itu kedua-dua negara berkongsi kepentingan memelihara dan mengekalkan keamanan dan keselamatan di rantau Asia Pasifik, disokong oleh penghormatan terhadap kedaulatan dan pematuhan kepada peraturan dan norma yang dipersetujui.

“Kedua-dua negara bersetuju untuk menyokong usaha memelihara Asia Tenggara sebagai rantau yang bebas daripada senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran, sambil menyumbang kepada usaha global mengenai pelucutan senjata, ‘non-proliferation’ dan penggunaan tenaga nuklear secara aman, selaras dengan perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ),” katanya.

Dalam kenyataan yang sama, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China Li Qiang juga bersetuju meningkatkan kerjasama dalam bidang industri pertahanan dan meningkatkan pertukaran dan kerjasama mengenai keselamatan negara.

Anwar dan Li mengulangi tentangan terhadap sebarang bentuk keganasan dan akan mengukuhkan kerjasama dalam keselamatan penguatkuasaan undang-undang dan antikeganasan, bersama-sama menangani jenayah rentas sempadan dan menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau.

Li tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi tiga hari pada hari Selasa.

Lawatan beliau bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China susulan pemeteraian Penyataan Bersama antara Perdana Menteri kedua Malaysia Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri China ketika itu, Chou En Lai pada 31 Mei 1974.

China merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 2009. Tahun lepas jumlah perdagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (USD98.80 bilion), mewakili 17.1% daripada perdagangan global Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.