
Christine Lees menuntut ganti rugi khas RM3 juta, selain ganti rugi am dan punitif daripada Pusat Perubatan Prince Court yang didakwa melanggar kontrak, kewajipan fidusiari, kerahsiaan serta melanggar hak privasinya dan undang-undang perlindungan data.
Plaintif mendakwa hospital itu sengaja mahu memalukannya apabila melepaskan rekod perubatannya kepada peguam mereka sebagai sebahagian daripada pembelaan dalam saman cuai berhubung kesilapan yang dikatakan mengakibatkan kecacatan anaknya.Lees mendakwa mengalami tekanan emosi, kecederaan psikiatri, kehilangan privasi dan kemudaratan reputasi akibat pendedahan itu, selain mengalami kerugian ekonomi teruk.
“Plaintif hilang pelanggan perniagaannya dan mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM3 juta kerana tidak mampu menguruskan perniagaannya akibat kesengsaraan emosi dialami daripada kejadian itu.”
Bagaimanapun, Pusat Perubatan Prince Court mendakwa saman itu “tindakan ugutan” memandangkan satu kes kecuaian sedang dibicarakan.
Dalam pernyataan tuntutan difailkan Januari lalu, Lees berkata, hospital itu sengaja mengeluarkan rekod perubatannya kepada peguam mereka untuk digunakan dalam saman kecuaian perubatan sedang berlangsung.
Dalam saman kecuaian itu, Lees mendakwa anak lelakinya yang kini berusia enam tahun mengalami kecacatan kekal akibat kegagalan hospital terbabit menguruskan rawatannya.
Menurutnya, hospital itu gagal dalam kewajipannya melindungi beliau dalam kapasiti sebagai pesakitnya.
“Mereka secara unilateral mengeluarkan rekod perubatan saya tanpa kebenaran saya.”
Beliau menuduh Prince Court sama ada secara “cuai” atau “sengaja” mendedahkan maklumat sensitif dengan menyerahkan cetakan dibuat 10 Mei 2023 kepada peguam mereka untuk digunakan dalam prosiding kecuaian.
Susulan itu, Lees mendakwa pihak hospital melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi.
Bagaimanapun, Prince Court dalam pembelaannya berkata, Lees memberikan kebenaran kepada hospital itu untuk menasihati, mendiagnos dan merawatnya pada 2016, serta bersetuju dengan semua terma dan syarat ditetapkan hospital.
Di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta, katanya, semua rekod rawatan dan pembedahan adalah hak milik Prince Court.
“Peguamnya ketika perbicaraan kecuaian perubatan juga tidak membantah rekod perubatannya dikemukakan dan tiada permohonan untuk membatalkan rekod itu.”
Hospital itu berkata, rekod perubatan setebal 11 muka surat relevan untuk saman kecuaian berkenaan, yang terbukti apabila peguam Lees sendiri merujuknya ketika pemeriksaan balas.
Prince Court mendakwa kes itu penyalahgunaan proses mahkamah.
Bulan lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Lees untuk penghakiman terus, selain turut menolak permohonan hospital membatalkan saman itu yang didakwa penyalahgunaan proses dan cubaan melambatkan prosiding kes kecuaian.
Lees diwakili Tetuan Naidu Chambers, manakala Tetuan Siva Dharma & Associates hadir bagi pihak defendan.