3 mengaku salah guna balutan tertera ayat al-Quran

3 mengaku salah guna balutan tertera ayat al-Quran

Semua tertuduh didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau selepas mengaku bersalah melukakan perasaan keagamaan orang lain.

quran bungkuih
Mahkamah Majistret Balik Pulau menjatuhkan hukuman denda RM5,000 selepas semua tertuduh mengaku bersalah.
PETALING JAYA:
Seorang pengurus sebuah syarikat percetakan dan dua pekerjanya masing-masing didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau, Pulau Pinang atas tuduhan menggunakan cetakan ayat al-Quran untuk membalut bungkusan.

Chin Chang Swee, 44; 0perator percetakan, Kanu Anil Sah, 29, dan pembungkus barangan, San Thay Aung, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh dengan niat bersama menghantar tiga bungkusan dari pejabat mereka di Kuala Lumpur ke Ayer Itam, Pulau Pinang dengan menggunakan balutan yang bercetak tulisan ayat al-Quran bagi melukakan perasaan keagamaan orang lain.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di DHL Warehouse Sungai Tiram, Bayan Lepas pada jam 11.30 pagi, 5 Jun lalu.

Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa peruntukan hukuman penjara selama setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian menetapkan denda sebanyak RM5,000 setiap seorang atau lima bulan penjara jika gagal bayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R Lushani.

Semua tertuduh kemudian membayar denda yang dikenakan terhadap mereka.

Terdahulu, tular beberapa foto di media sosial memaparkan bungkusan yang dibalut menggunakan kertas bercetak ayat al-Quran.

Bungkusan itu didakwa dihantar oleh sebuah syarikat percetakan di Cheras ke Pulau Pinang menggunakan perkhidmatan kurier.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.