Skim insentif SPRM ‘mimpi ngeri’ bagi rasuah, kata bekas menteri

Skim insentif SPRM ‘mimpi ngeri’ bagi rasuah, kata bekas menteri

Salleh Said Keruak menggesa semua ahli politik menyokong inisiatif agensi antirasuah itu.

macc
SPRM berkata, kira-kira 514 penjawat awam diberikan ganjaran lebih RM1 juta antara 2012 hingga tahun lalu kerana mendedah dan melaporkan kes rasuah yang membawa kepada sabitan.
PETALING JAYA:
Seorang bekas menteri persekutuan memuji skim insentif pemberi maklumat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disifatkannya cara berkesan untuk mendapatkan maklumat boleh dipercayai.

Salleh Said Keruak berkata, skim itu merupakan “mimpi ngeri” bagi individu terbabit amalan rasuah kerana rakyat digalakkan melaporkan jenayah sedemikian.

“Ia akan menimbulkan rasa tidak percaya dalam kalangan mereka yang rasuah kerana ada insentif bagi pihak tertentu untuk mendedahkan urusan atau amalan rasuah dalam kalangan penjawat awam, ahli perniagaan serta ahli politik,” katanya dalam catatan Facebook.

Menteri komunikasi dan multimedia dari 2015 hingga 2018 itu mengulas pendedahan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki bahawa kira-kira 514 penjawat awam diberikan ganjaran lebih RM1 juta antara 2012 hingga tahun lalu kerana mendedah dan melaporkan kes rasuah yang membawa kepada sabitan.

Azam berkata, pemberi maklumat daripada perkhidmatan awam diberikan ganjaran dalam jumlah sama dengan rasuah yang ditawarkan kepada mereka.

Katanya, kerajaan sedang meneliti untuk memperluaskan skim itu kepada orang ramai.

Salleh yang semalam dilaporkan berkata terdapat peratusan kecil penjawat awam korup perlu disingkirkan bagi menghentikan penyebaran rasuah, menggesa ahli politik kerajaan dan pembangkang menyokong insentif itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.