Promosi MSPO sampai diiktiraf antarabangsa, gesa persatuan

Promosi MSPO sampai diiktiraf antarabangsa, gesa persatuan

Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia berkata usaha promosi boleh dilakukan menerusi penulisan seperti kajian saintifik.

Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia berkata pekebun perlu meningkatkan produktiviti dan kecekapan dalam pengurusan kelapa sawit selaras piawaian MSPO.
PETALING JAYA:
Persatuan pekebun kecil menggesa kerajaan meneruskan usaha mempromosikan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi menjamin manfaat dan kelebihannya diiktiraf antarabangsa.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Adzmi Hassan, berkata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) perlu berbuat demikian melalui penulisan seperti kajian saintifik, sungguhpun mengakui kualitinya diketahui umum.

“Banyak produk di pasaran sekarang mengandungi minyak sawit, tetapi disebabkan ia lebih murah berbanding minyak lain maka berlaku persaingan seperti penyebaran kenyataan buruk ke atas minyak kelapa sawit.

“Kita perlu bekerja keras melakukan ‘promosi terakhir’ iaitu mendapatkan pengiktirafan arena antarabangsa terhadap MSPO. Itu sahaja yang perlu kita lakukan sekarang,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, pada masa sama pekebun perlu meningkatkan produktiviti dan kecekapan dalam pengurusan kelapa sawit, selaras piawaian MSPO kerana ia turut mempengaruhi pendapatan mereka.

“Kalau boleh hasilkan satu hingga dua tan buah kelapa sawit, bermakna kadar perahannya mencapai lebih kurang 20%. Berdasarkan formula harga ditetapkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang mana 1%=RM40, maka boleh dapat RM800 per tan.

“Manakala kerajaan perlu memastikan buah yang dipasarkan adalah berkualiti, selaras penggredan dibuat MPOB. Sepatutnya semua buah yang dijual itu berkualiti, dengan adanya MSPO sekarang. Bila buah berkualiti maka pengeluaran dan pendapatan pun meningkat,” katanya.

April lalu, Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani menggesa Kesatuan Eropah (EU) menghentikan ‘diskriminasi tidak wajar dan berwenang’ terhadap minyak sawit.

“Minyak sawit ialah tanaman biji minyak yang paling produktif,” katanya dalam ulasan diterbitkan dalam Majalah The Parliament EU.

Johari berkata, minyak sawit Malaysia mampu bersaing sengit dalam pasaran saksama dengan menawarkan harga lebih rendah dan menjamin kualiti tinggi bagi pengguna global.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.