Murid 5 tahun maut dilanggar van sekolah

Murid 5 tahun maut dilanggar van sekolah

Polis berkata murid prasekolah itu dilanggar van sekolah dinaikinya selepas mangsa pulang dari sekolah.

Mohd-Sohaimi-Ishak
Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak berkata kanak-kanak itu yang cedera parah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Masai di Johor Bahru. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Seorang murid prasekolah maut selepas dilanggar van sekolah dinaikinya di Jalan Suria, Bandar Seri Alam, pagi tadi.

Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak berkata kejadian melibatkan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu berlaku pada 11.35 pagi.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu van wanita berusia 50 tahun menurunkan kanak-kanak itu dan abangnya yang berusia enam tahun di hadapan rumah mereka.

“Pemandu van itu meneruskan perjalanan selepas melihat abang mangsa (berjalan) melepasi belakang van dan beranggapan mangsa turut mengikuti abangnya.

“Bagaimanapun, pemandu itu terlanggar mangsa yang lalu di hadapan van tanpa disedari. Wanita kemudian turun melihat keadaan kanak-kanak itu dan memaklumkan kepada ibu mangsa dengan segera,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kanak-kanak itu yang cedera parah dibawa ke Klinik Kesihatan Masai oleh ibunya dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Sohaimi berkata pemandu berkenaan kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.