
NGO yang memperjuangkan hak kewarganegaraan itu berkata mengemukakan permohonan baharu merupakan perkara yang sukar buat ibu-ibu berkenaan, dan masalah ini amat memberi kesan pada wanita kematian suami atau diceraikan, yang ingin membawa anak pulang.
“Pada sesi Parlimen lepas, kami dengar menteri membuat beberapa pengumuman berkenaan meluluskan permohonan, tetapi ia tidak selesaikan masalah penolakan ini.
“Setakat ini, tiada alasan diberikan kenapa permohonan yang dikemukakan oleh ibu-ibu ini sejak Mac ditolak,” kata Presiden Suriani Kempe pada sidang media.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution pada Mac mengumumkan setiap permohonan kewarganegaraan yang ditolak akan disertakan alasan penolakan.
Suriani berkata 34 daripada 40 permohonan yang ditangani oleh rangkaian Familiy Frontiers dan ditolak oleh kerajaan adalah daripada ibu-ibu di luar negara.
Sementara itu, ahli jawatankuasa eksekutif Family Frontiers, Chee Yoke Ling, berkata sekiranya RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 yang diluluskan tidak retroaktif, kanak-kanak beribukan warga Malaysia yang dilahirkan sebelum pindaan diwartakan akan kekal sebagai bukan warganegara.
RUU tersebut ingin meminda Jadual Kedua Perlembagaan.
“Sekiranya pindaan diluluskan tetapi tidak retroaktif, akan ada kanak-kanak beribukan warga Malaysia terawang-awang, tidak dapat memohon kewarganegaraan Malaysia,” katanya.
Menurutnya, ia akan menghalang kanak-kanak beribukan warga Malaysia yang lahir di luar negara dan berusia 21 tahun ke atas daripada memohon kerakyatan, dan perkara itu akan lagi mencabar sekiranya si ibu meninggal dunia.
Suriani berkata beberapa negara mutakhir ini seperti Algeria, Mesir, Kenya, Madagascar, Maghribi, Sri Lanka, dan Iran meminda undang-undang masing-masing bagi memperbaiki isu ini.
“Dalam konteks Malaysia, yang sering bercakap tentang aliran keluar kepakaran dan pelbagai isu lain, ada ramai anak-anak warga Malaysia yang mahu menjadi rakyat yang produktif dan menyumbang kepada ekonomi, tetapi tak diberi peluang kerana ada diskriminasi gender,” katanya.