KPDN Kelantan rancang pasang CCTV di stesen minyak sempadan

KPDN Kelantan rancang pasang CCTV di stesen minyak sempadan

Langkah ini bagi memudahkan pemantauan dibuat dari jauh, sekiranya berlaku kegiatan penyeludupan.

Dengan pemasangan CCTV di stesen minyak, KPDN dapat membuat pemantauan secara terus dari pejabat dan senang mengambil tindakan jika berlaku penyeludupan bahan api. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di stesen-stesen minyak di kawasan sempadan Malaysia-Thailand bagi tujuan pemantauan.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata, dalam masa terdekat sebagai permulaan, CCTV akan dipasang di stesen-stesen terpilih yang dipercayai sering menjadi pilihan penyeludup.

Beliau berkata, langkah itu antaranya untuk mencegah kegiatan pembelian minyak secara berulang, dibimbangi untuk tujuan penyeludupan.

“Buat masa sekarang, pendekatan KPDN adalah dengan meletakkan anggota penguat kuasa secara statik di beberapa stesen terpilih, seperti di Tumpat dan Pasir Mas,” katanya baru-baru ini.

Azman berkata, dengan pemasangan CCTV, KPDN dapat membuat pemantauan secara terus dari pejabat dan senang mengambil tindakan jika berlaku penyeludupan.

Mengulas lanjut, Azman berkata. perkara itu masih dalam perbincangan dengan syarikat-syarikat minyak dan masih belum dimuktamadkan.

Katanya, setakat ini, stesen minyak sudah mempunyai CCTV masing-masing dan jika ingin pemantauan, pihak KPDN perlu mengunjungi stesen minyak tersebut untuk melihat sendiri rakaman CCTV.

“Apa yang kita inginkan adalah pemantauan boleh dilakukan daripada pejabat sahaja,” katanya.

Di daerah bersempadan, terdapat 46 buah stesen minyak dalam radius 20km yang menjadi tumpuan penyeludup bahan api itu, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.