
Hakim Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan peguam K Kumaraendran yang mewakili Irwan untuk menangguhkan kes, yang dijadualkan bermula hari ini di Mahkamah Tinggi, berikutan pihak pembelaan masih belum menerima 48 lagi dokumen berkaitan kes daripada pendakwaan.
“Sila pastikan semua dokumen berkaitan kes diserahkan kepada pembelaan sebelum perbicaraan bermula (22 Julai),” kata hakim.
“Pada 4 Jun lepas, perbicaraan tidak dapat diteruskan dan hari ini ia tidak dapat diteruskan lagi. Saya tidak mahu dengar lagi alasan penangguhan disebabkan dokumen yang tidak diserahkan.”
Terdahulu, Kumaraendran memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan masih belum menyerahkan 48 dokumen itu kepada pembelaan. Ketiadaan dokumen berkenaan, katanya, akan memprejudiskan anak guamnya.
“Kebanyakan dokumen terbabit ialah dokumen rakaman percakapan anak guam saya yang akan digunakan sebagai pembelaan dalam kes ini.
“Dalam surat yang dikemukakan kepada pendakwaan semalam (18 Jun), kami minta agar dokumen berkenaan diserahkan kepada pihak kami,” katanya.
Shafee Abdullah yang mewakili Najib selaku peguam pula berkata, pembelaan bekas perdana menteri itu bergantung kepada keterangan atau kenyataan yang dibuat oleh Irwan.
“Kita boleh anggap Irwan sebagai ‘CEO of the Ministry of Finance’ (Ketua Pegawai Eksekutif Kementerian Kewangan) dan beliau mempunyai banyak pengetahuan dalam kementerian itu. Dokumen yang akan diserahkan oleh pendakwaan relevan kepada anak guam saya,” kata Shafee.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi mengesahkan, terdapat 48 lagi dokumen yang diklasifikasikan sebagai rahsia dan sulit masih belum diturun taraf dan diserahkan kepada pihak pembelaan.
“Dokumen-dokumen yang diminta oleh pembelaan, antaranya dari Agensi Pengangkutan Awam Darat, Unit Perancang Ekonomi dan kertas Jemaah Menteri. Sebelum ditanda sebagai ekshibit, dokumen-dokumen ini perlu diturun taraf kerana ia bawah Akta Rahsia Rasmi.
“Pihak pendakwaan memerlukan masa sebulan untuk dokumen itu diturun taraf oleh pegawai di agensi berkaitan sebelum diserahkan kepada pembelaan,” katanya
Tambahnya, pihak pembelaan ada menghantar surat menerusi e-mel semalam bagi penangguhan kes.
Sementara itu hakim turut melapangkan perbicaraan esok dan 24 sehingga 27 Jun, serta pada Julai, iaitu 2 hingga 4, 9 hingga 11, dan 15 hingga 18.
Pada 24 Okt 2018, Najib, 70, dan Irwan, 67, mengaku tidak bersalah atas enam tuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya antara 21 Dis 2016 dan 18 Dis 2017 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Jika sabit kesalahan,hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda boleh dikenakan.