Bangkit isu kawal selia TPA di Parlimen minggu depan, MMA gesa Ahli Parlimen

Bangkit isu kawal selia TPA di Parlimen minggu depan, MMA gesa Ahli Parlimen

Dr Azizan Abdul Aziz berkata amalan tidak beretika seperti pembahagian fi yang diamalkan TPA selama ini perlu dibendung segera.

doctor
Persatuan Perubatan Malaysia berkata pihaknya telah berbincang dengan Kementerian Kesihatan berhubung kawal selia syarikat pengurusan perkhidmatan kesihatan pihak ketiga (TPA).
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Ahli Parlimen untuk membangkitkan keperluan mengawal selia syarikat pengurusan perkhidmatan kesihatan pihak ketiga (TPA) pada sidang Dewan Rakyat dijadualkan bermula minggu depan.

Presidennya Dr Azizan Abdul Aziz berkata amalan pembahagian fi yang mana TPA mengambil peratusan daripada jumlah bil yang dikenakan kepada pesakit boleh membawa kepada peningkatan kos ditanggung pengamal perubatan (GP) sektor swasta.

“Kami memaklumkan sesetengah TPA menolak 10 hingga 15% daripada jumlah bil untuk tujuan ini.

“Dikhuatiri kelestarian klinik swasta dan kualiti penjagaan pesakit bakal terjejas kerana GP terlibat mungkin terpaksa mengurangkan kos atau melaksanakan pelarasan caj bagi menampung kerugian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pembahagian fi merupakan amalan yang tidak beretika dan akan menjurus kepada peningkatan kos penjagaan kesihatan terutamanya perkhidmatan penjagaan primer swasta jika tidak ditangani segera.

Azizan turut menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap pengamal perubatan swasta terlibat dalam amalan pembahagian fi itu bagi memastikan TPA ‘tertekan’ untuk mematuhi standard etika.

Katanya, usaha itu perlu memandangkan tiada kuasa dalam mengawal selia agensi berkenaan seperti didakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“MMA telah berbincang dengan KKM mengenai perkara ini sejak tahun 2015, namun tiada tindakan kawal selia diambil untuk menangani isu ini,” katanya.

Bukan itu sahaja, tambahnya, TPA juga mengenakan bayaran pendaftaran yang tinggi, iaitu RM5,000 kepada klinik GP swasta hanya untuk disenaraikan sebagai klinik panel.

“Selain itu, kebanyakan TPA juga melarang GP swasta daripada mendedahkan maklumat daripada perjanjian kontrak mereka seperti tahap kelayakan dan perlindungan.

“Ini menghalang proses pendaftaran dan penyampaian penjagaan menyebabkan salah faham antara pesakit dan GP swasta,” katanya.

Tambahnya, pembayaran tertunda dan penolakan tuntutan TPA turut mengakibatkan cabaran kewangan dihadapi GP swasta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.