100,000 permohonan subsidi diesel Budi Madani lulus

100,000 permohonan subsidi diesel Budi Madani lulus

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata permohonan itu adalah di bawah inisiatif Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata matlamat penyasaran subsidi diesel adalah untuk menumpukan bantuan kepada sektor yang layak dan golongan masyarakat yang memerlukan.
PETALING JAYA:
Kerajaan setakat ini meluluskan sebanyak 100,000 permohonan bantuan tunai subsidi diesel di bawah inisiatif Budi Madani untuk pemilik kenderaan diesel individu (Budi Individu) serta petani dan pekebun kecil (Budi Agri-Komoditi).

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata matlamat penyasaran subsidi diesel adalah untuk menumpukan bantuan kepada sektor yang layak dan golongan masyarakat yang memerlukan.

“Bantuan tunai yang ditetapkan pada RM200 sebulan adalah untuk menampung perbelanjaan tambahan diesel bagi lebih 80% pemilik kenderaan diesel individu.

“Saya menyeru kepada rakyat yang layak, supaya segera mendaftar bagi mendapatkan bayaran bantuan tunai diesel bulan Jun. Kerajaan komited untuk menyalurkan bantuan tunai Budi Madani bermula pada bulan permohonan dibuat,” katanya dalam kenyataan.

Amir berkata, seramai 30,000 pemohon menerima bayaran bantuan tunai pada 10 Jun, diikuti oleh 46,000 pemohon yang menerima bayaran pada hari ini. Mereka yang membuat permohonan sebelum hujung Jun, akan menerima bayaran pada awal Julai ini.

“Pemohon yang layak akan menerima bantuan RM200 secara bulanan melalui akaun bank masing-masing atau mendapatkan bayaran tunai di kaunter-kaunter Bank Simpanan Nasional,” katanya.

Inisiatif Budi Madani dibuka sejak 28 Mei adalah platform untuk mengagihkan bantuan tunai subsidi diesel kepada pemilik kenderaan diesel melalui kategori Budi Individu; dan kepada petani kecil dan pekebun kecil melalui kategori Budi Agri-Komoditi.

Dianggarkan seramai 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung Malaysia layak untuk menerima Budi Individu. Manakala seramai hampir 400,000 petani dan pekebun skala kecil berkelayakan menerima manfaat daripada Budi Agri-Komoditi

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.