
Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara, Hakim Ravinthran Paramaguru berkata mahkamah tidak dapat diyakinkan dengan hujah kerajaan persekutuan bahawa isu berkaitan pemberian khas tersebut tidak wajar dan mahkamah tidak boleh mendengar kes itu.
Turut bersidang mendengar rayuan, Hakim Nazlan Ghazali dan Choo Kah Sing.
Ravinthran berkata, SLS badan berkanun ditubuh mewakili Sabah, bukan memohon ganti rugi peribadi berkait pemberian khas 40%, namun membawa kes dalam bentuk litigasi berkepentingan awam demi manfaat semua rakyat Sabah.
Katanya, isu dituntut SLS antaranya mempunyai kepentingan Perlembagaan yang tinggi.
Mahkamah mengambil maklum fokus semakan kehakiman SLS berkisar dakwaan ‘pengeluaran’ oleh kerajaan persekutuan bagi mengkaji semula kelayakan Sabah mengikut pemberian khas, antara 1974 dan 2021.
“Semakan dilakukan pada 2022 dikatakan tidak mengambil kira apa dikatakan ‘tahun yang hilang’,” kata Ravinthran.
SLS memohon dibatalkan gazet 2022 yang menyatakan kerajaan persekutuan akan membuat pembayaran kepada Sabah berjumlah RM527.2 juta, bagi tempoh 2022 hingga 2026.
Mereka juga mahu kerajaan persekutuan mengadakan semakan terhadap Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan untuk secara wajar ‘mencerminkan’ hak 40% kepada Sabah.
SLS berhujah semakan dilakukan bagi tempoh 1969 hingga 1973, namun terhenti setakat itu. Mereka berkata, akibat daripada itu rakyat Sabah hilang manfaat terhadap pemberian khas selama 47 tahun.
Kerajaan persekutuan menegaskan nilai pemberian khas perlu ditentukan oleh pusat dan negeri, mengambil kira kedudukan fiskal dan kewangan.
SLS diwakili David Fung dan Jeyan TM Marimuttu, manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly, mewakili kerajaan persekutuan.
Dalam pada itu, Peguam Besar Sabah Nor Asiah Mohd Yusof dan penasihat undang-undang kepada ketua menteri, Brenndon Keith Soh, mewakili kerajaan negeri, yang dinamakan sebagai responden bersama.
Asiah mengambil alih kes bagi pihak kerajaan negeri daripada firma guaman, FT Ahmad & Co, pada 24 Mei, susulan kenyataan kontroversi dibuat ketika pendengaran rayuan, seminggu sebelumnya.
Dalam hujahan, peguam Tengku Ahmad Fuad, mewakili negeri, mendakwa SLS tidak mempunyai locus standi membawa prosiding. Beliau juga mendakwa hak Sabah berkait pendapatan negeri 40% hanya ‘aspirasi’ dan bukan mandatori atau mutlak.
Asiah menarik balik penghujahan berkenaan, sambil menyatakan mereka tidak mencerminkan kedudukan negeri berhubung perkara itu.