KPDN timbang rayuan subsidi diesel, pengusaha ‘towing’ diberitahu

KPDN timbang rayuan subsidi diesel, pengusaha ‘towing’ diberitahu

Timbalan Menteri Fuziah Salleh berkata jika pengusaha trak tunda buat rayuan untuk mendapatkan subsidi diesel pihaknya ada jawatankuasa khas meneliti perkara itu.

Fuziah Salleh
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata sesi libat urus secara berterusan akan dilakukan bagi meneliti permohonan yang diterima.
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meneliti dan mempertimbangkan jika pengusaha trak penunda kenderaan membuat rayuan untuk mendapatkan subsidi diesel bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Timbalan Menteri Fuziah Salleh berkata buat masa ini sesi libat urus secara berterusan akan dilakukan bagi meneliti permohonan yang diterima.

“Sekiranya mereka merayu, kita ada satu jawatankuasa khas untuk melihat kepada rayuan,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, lebih 1,000 pengusaha trak penunda kenderaan menggesa kerajaan mempertimbangkan perkhidmatan berkenaan dimasukkan dalam senarai 23 kategori kenderaan layak menerima bantuan diesel bawah SKDS.

Persatuan Trak Tunda dan Pengangkutan Kereta 1 Malaysia (1MTTCC) mendakwa sejak penyasaran subsidi diesel pada 10 Jun, kos operasi mereka naik sekali ganda susulan peningkatan harga diesel kepada RM3.35 seliter daripada RM2.15.

Presidennya Yusof Yahya berkata mengikut garis panduan dikeluarkan pada 2018, pihaknya hanya boleh mengenakan caj perkhidmatan sebanyak RM150 bagi 1km hingga 10km, namun peningkatan kos menyebabkan mereka tidak lagi mampu patuh kepada pekeliling itu.

FMT sebelum ini melaporkan syarikat penunda kenderaan antara yang menaikkan harga perkhidmatan susulan peningkatan harga diesel, ekoran tidak tersenarai dalam kategori kenderaan layak menerima subsidi diesel.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mendakwa sektor pembinaan dan syarikat perkhidmatan termasuk penunda kenderaan dikesan antara pihak menyalah guna diesel subsidi tahun lalu.

Menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0, sektor pengangkutan awam darat berkelayakan termasuk bas ekspres, bas sekolah, ambulans dan bomba kekal membeli diesel pada harga RM 1.88 seliter.

Bagi SKDS 2.0 kenderaan logistik berkelayakan akan menggunakan kaedah kad fleet untuk membendung kesan terhadap harga barangan pengguna, ditetapkan pada harga RM2.15 seliter.

Kenderaan layak seperti lori rigid (curtain sider), lori katering makanan; lori rigid (hasil pertanian); lori tangki rigid (minuman); lori rigid (kandang haiwan); semi (panel van); serta lori rigid (kombinasi).

Selain itu, bas perkhidmatan bergerak, lori rigid (open platform); van perkhidmatan bergerak, bas katering makanan; lori rigid (perkhidmatan bergerak); van katering makanan; dan lori rigid (sampah) turut layak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.