Kereta langgar bas ekspres, lelaki maut tersepit

Kereta langgar bas ekspres, lelaki maut tersepit

Kejadian berlaku di KM155.9 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Sungai Bakap awal pagi tadi.

Pihak bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam Proton Gen 2 terbabit. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki maut, manakala seorang lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Sungai Bakap awal pagi tadi.

Mangsa yang maut ialah lelaki berusia 30 tahun, penumpang hadapan Proton Gen 2 terbabit, manakala pemandu berusia 40 tahun mengalami kecederaan di bahagian muka.

Pemandu dan semua penumpang bas ekspres tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada 4.36 pagi lalu bergegas ke tempat kejadian di KM155.9.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Gen 2 yang dinaiki dua lelaki itu melanggar belakang bas ekspres terbabit sehingga menyebabkan penumpang hadapan tersepit.

“Pihak bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa,” katanya, lapor Bernama.

Mayat lelaki itu dihantar ke hospital untuk bedah siasat, manakala pemandu kereta yang cedera turut dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.