Kedai emas dirompak di Kajang rugi RM3.2 juta

Kedai emas dirompak di Kajang rugi RM3.2 juta

Polis berkata belum ada sebarang tangkapan dan suspek giat diburu.

samun kedai emas
Video rompakan kedai emas di Kajang yang tular di media sosial menunjukan beberapa lelaki bertopeng memecahkan kaca tempat pameran barangan kemas.
PETALING JAYA:
Sebuah kedai emas yang terbabit kejadian rompakan oleh empat lelaki bersenjata api di pusat beli-belah di Kajang semalam mengalami kerugian kira-kira RM3.2 juta.

Timbalan Ketua Polis Kajang, Mohd Nasir Drahman, yang mengesahkan perkara itu berkata pihaknya belum membuat sebarang tangkapan buat masa ini dan sedang giat memburu suspek.

“Siasatan kes masih berjalan. Setakat ini tiada tangkapan. Kerugian adalah dianggarkan RM3.2 juta,” katanya menerusi kenyataan ringkas menurut Berita Harian.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini tujuh saksi termasuk pekerja kedai emas sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

“Kita dalam tindakan untuk merakam keterangan beberapa lagi saksi,” katanya.

Semalam, media melaporkan empat lelaki bersenjata api dan berpakaian seperti pengawal keselamatan, merompak sebuah kedai emas dalam sebuah pusat beli-belah di Kajang, kira-kira 3.17 petang.

Nasir dilaporkan berkata, empat lelaki dalang rompakan dilihat memakai baju seakan pengawal keselamatan, bertopeng serta bersarung tangan gelap.

Katanya, suspek didapati bersenjatakan dua pistol dan selaras senapang dengan seorang daripada mereka melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis berkenaan.

Mereka kemudian memecahkan cermin kaca tempat simpanan emas menggunakan tukul besi sambil mengambil barang kemas sebelum melarikan diri melalui parkir bawah bangunan.

Terdahulu, video rompakan itu turut tular di media sosial yang menunjukan beberapa lelaki bertopeng memecahkan kaca tempat pameran barangan kemas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.