Galak golongan miskin Sabah ceburi industri kecil-kecilan, kata aktivis

Galak golongan miskin Sabah ceburi industri kecil-kecilan, kata aktivis

Penyertaan dalam industri seperti pemprosesan makanan akan membantu masyarakat itu memperoleh pendapatan, kata Adrian Lasimbang.

Aktivis Adrian Lasimbang berkata, terdapat banyak kegiatan hiliran yang boleh diceburi oleh golongan miskin tegar di Sabah.
PETALING JAYA:
Seorang aktivis hak Orang Asal berkata, kerajaan perlu menggalakkan golongan miskin tegar di Sabah, khususnya di luar bandar, melibatkan diri dalam industri kecil-kecilan agar mereka dapat melepaskan diri daripada jerat kemiskinan.

Adrian Lasimbang berkata, penyertaan dalam industri kecil-kecilan seperti pemprosesan makanan akan membantu masyarakat itu memperoleh pendapatan, selepas kehilangan pekerjaan akibat kemerosotan sektor pembalakan.

Lasimbang memberitahu FMT, golongan miskin tegar boleh terlibat dalam industri pengeluaran halia atau serbuk lada serta hasil hutan seperti ‘sambal tuhau’, yang dibuat daripada pucuk halia liar dan kanji ubi kayu.

Beliau berkata, terdapat banyak kegiatan hiliran lain yang boleh diceburi oleh masyarakat itu ‘selagi mereka tidak terperangkap hanya menghasilkan bahan mentah bernilai rendah yang tertakluk kepada harga pasaran atau perlu menghadapi cabaran logistik’.

Adrian Lasimbang.

Pada 31 Mei, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan, kemiskinan tegar di Sabah menurun daripada 20,000 kepada 9,000 isi rumah. Anwar, yang juga menteri kewangan berkata, beliau bercadang membasmi kemiskinan tegar di negeri itu menjelang akhir Julai.

Mengkritik cadangan itu, bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal berkata, matlamat itu tidak dapat dicapai kerana data yang dikumpul oleh Putrajaya tidak mewakili dengan tepat realiti di lapangan, yang jauh lebih buruk.

Lasimbang, presiden Pertubuhan Suara Anak Sabah berkata, kemiskinan tegar di negeri itu boleh dikaitkan dengan prasarana yang buruk dan kekurangan akses bekalan elektrik di kawasan luar bandar.

Sebagai contoh, katanya, ketiadaan jalan raya atau jalan yang tidak diselenggara dengan baik menyebabkan penduduk kawasan luar bandar berdepan kos lebih tinggi untuk mengangkut hasil mereka kerana perlu bergantung kepada pihak luar.

Keadaan ini menyebabkan kehilangan pendapatan yang tambah memiskinkan masyarakat luar bandar, terutamanya Orang Asal.

“Ini menyebabkan orang tidak mahu berniaga dan seterusnya menganggur kerana enggan mengeluarkan wang sendiri untuk mengangkut barangan,” katanya.

Sementara itu, pakar ekonomi Barjoyai Bardai mencadangkan kerajaan persekutuan bergantung pada data seperti pengambilan protein harian isi rumah, jumlah makanan yang diambil setiap hari, dan ketersediaan kemudahan asas rumah untuk mengukur tahap kemiskinan.

“Dengan data ini, kita boleh menentukan taraf mereka bagi tindakan seterusnya untuk membantu mereka keluar daripada jerat kemiskinan,” kata Barjoyai daripada Universiti Sains dan Teknologi Malaysia.

Katanya, Putrajaya boleh menggunakan Pangkalan Data Utama (Padu) untuk mengumpul data tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.