
Ini berikutan gesaan agar KPM memansuhkan peraturan mewajibkan sekolah rendah dan menengah yang menawarkan DLP mempunyai hanya satu kelas Tahun Satu atau Tingkatan Satu untuk mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu tanpa mengambil kira kehendak ibu bapa.
Setiausaha Agung NUTP Fouzi Singon berkata, KPM pihak paling tepat menangani perkara itu memandangkan pengetahuannya tentang program itu dan keperluan sekolah dan pelajar di seluruh negara.
“Pendirian kami adalah DLP perlu dikhaskan untuk pelajar sekolah berasrama penuh dan sekolah rancangan khas kerana mereka khusus dipilih untuk menjadi profesional di negara kita.

“Masalah timbul apabila sekolah biasa cuba melaksanakan DLP walaupun pelajar kurang menguasai Bahasa Inggeris asas.
“Perbahasan ini perlu dihentikan, dan KPM mesti mengambil pendirian tegas dalam isu ini,” katanya kepada FMT.
Fouzi mendakwa, tentangan terhadap pelaksanaan semasa DLP sebahagian besarnya datang daripada ‘kumpulan kecil teknokrat dan individu kelas menengah’ yang mendesak KPM agar mengikut kehendak mereka.
“Mereka bukan pakar pendidikan mahupun guru sekolah yang sudah biasa dengan isu pendidikan di seluruh negara,” katanya.
Fouzi juga menggesa KPM agar mengekalkan syarat sedia ada bahawa sekolah yang menawarkan kelas DLP mencapai gred purata nasional dalam Bahasa Melayu, bercanggah dengan pandangan Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE).
Beliau berkata, ketika lawatannya ke Jepun, Korea dan Turki baru-baru ini, NUTP mendapati pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda tidak menghalang pelajar menguasai dua mata pelajaran itu.
Fouzi juga mendakwa pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) gagal menghasilkan pakar dari Malaysia yang diiktiraf dunia.
“Tiada kajian mahupun hubung kait yang menunjukkan PPSMI meningkatkan penguasaan dalam mata pelajaran ini,” katanya.
“Menurut pengalaman saya, pelajar lebih bergelut memahami dan menyelesaikan soalan Sains dan Matematik disebabkan bahasa, bukan struktur mata pelajaran itu sendiri.”
Fouzi bagaimanapun mengakui, KPM perlu mengkaji semula kaedah pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah. Katanya, penguasaan pelajar dalam bahasa itu masih ‘mengecewakan’, walaupun mereka belajar sekurang-kurangnya tiga jam seminggu selama 11 tahun.
“Pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris mesti disusun semula dengan signifikan agar semua pelajar menguasai bahasa kedua itu dengan baik,” katanya.
“Jika pelajar boleh mencapai penguasaan dalam tempoh tiga hingga enam bulan di pusat bahasa, mengapa pembelajaran selama 11 tahun tidak dapat menghasilkan penguasaan yang optimum?”