
Kalimi, 61, atau nama sebenarnya Ahmad Kalimollah Abdul Hadi itu boleh dikatakan antara pembuat wau terkenal yang sering mendapat tempahan daripada peminat alat permainan tradisional itu baik sebagai perhiasan atau diterbangkan ke udara.
Malah wau buatannya kini menjelajah serata dunia antaranya ke Perancis, Jepun, China dan Amerika Syarikat.
“Biasanya broker beli dengan saya dan bawa ke seluruh dunia.
“Pernah rombongan bas dari Thailand datang ke bengkel wau dan borong stok wau sampai habis,” katanya ditemui FMT baru-baru ini.
Minat Kalimi pembuatan wau berputik sejak kanak-kanak, yang cinta itu tidak pernah padam meskipun beliau menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan awam di Institut Teknologi Mara (ITM) yang kini dikenali Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Malah beliau sempat bergelar jurutera sebelum menukar kerjaya sebagai pembuat wau kira-kira 35 tahun lalu, – keputusan yang tidak pernah dikesalinya.
“Bagi saya bidang wau lebih susah daripada ukiran dan seni lukis sebab ada tiga elemen iaitu lukisan, ukiran dan pemilihan warna.

“Paling susah nak lukis lukisan pada wau,” katanya yang turut aktif menyertai pertandingan wau.
Kongsi Kalimi, proses menampal lukisan pada rangka wau yang membabitkan sehingga empat lapisan turut rumit dilakukan kerana memerlukan penelitian untuk mengelakkan berkedut.
“Kalau orang tidak mahir lukisan itu akan berkedut-kedut. Kalau mahir, ia jadi licin saja,” cerita bapa kepada tiga anak itu.
Menurut Kalimi, harga wau dinilai mengikut bilangan hari, tahap kesukarannya serta tahap kategorinya iaitu gred AA (lebih sebulan untuk disiapkan), A (sebulan), B (tiga minggu), C (dua minggu), D (kurang seminggu), E (2-3 hari) dan F (wau satu warna).

Wau paling mahal dihasilkan Kalimi bernilai RM2,500 yang dibeli Muzium Kelantan manakala paling murah RM80 yang bersaiz enam inci.
“Harga wau berdasarkan masa atau berapa hari kita nak siapkan dia.
“Wau biasa sepanjang empat kaki cecah RM400-500 manakala kalau ada hiasan mencecah ribuan ringgit,” katanya sambil menjelaskan tempahan paling banyak diterima adalah wau Bulan Puyuh, Jala budi, Punggung Kucing, Merak, Dodol Helang dan Kenyalang.

Kalimi turut berkongsi bagi wau yang hendak diterbangkan, lukisannya tidak perlu terlalu rumit manakala tapak kijang perlu luas untuk membolehkannya terbang.
“Rangka wau juga tidak boleh terlalu lembut atau keras, bergantung pada kadar tiupan angin di kawasan kita hendak naikkan wau,” katanya yang sudah mencipta 28 jenis motif lukisan pada wau setakat ini.