Jabatan Tenaga Kerja siasat SAS berkait tunggakan gaji RM400,000

Jabatan Tenaga Kerja siasat SAS berkait tunggakan gaji RM400,000

Sumber berkata, Jabatan Tenaga Kerja Selangor membuka 15 kertas siasatan membabitkan 18 bekas dan pekerja semasa syarikat penerbangan sewa itu.

Systematic Aviation Services Sdn Bhd menawarkan perkhidmatan helikopter dan pesawat, lawatan bandar, luncuran udara serta operasi pesawat laut.
PETALING JAYA:
Jabatan Tenaga Kerja Selangor membuka 15 kertas siasatan terhadap syarikat penerbangan sewa bermasalah, Systematic Aviation Services Sdn Bhd (SAS) atas tunggakan gaji RM397,000, menurut sumber di Kementerian Sumber Manusia.

Mereka berkata, ia membabitkan 18 bekas dan pekerja semasa syarikat itu yang belum dibayar gaji, sama ada secara penuh atau sebahagian, dipercayai sejak beberapa tahun lalu.

Sepuluh kertas siasatan masih dibuka, manakala lima ditutup.

“Keseluruhan tuntutan kira-kira RM397,000. Daripada jumlah fail itu, lima sudah selesai membabitkan tujuh pekerja, di mana syarikat itu diarahkan membayar mereka RM171,600.

“Tetapi, difahamkan SAS hanya membayar RM79,200 membabitkan tiga pekerja,” kata sumber kepada FMT.

Sebaik siasatan selesai, beliau berkata, syarikat biasanya diberikan tempoh untuk membuat bayaran kepada pekerja terjejas.

“Jika mereka tidak berbuat demikian, jabatan itu boleh mendakwa SAS. Malah, Pejabat Tenaga Kerja Subang Jaya sedang bersiap sedia mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat itu di bawah Seksyen 19(1) Akta Kerja 1955 kerana lewat membayar gaji.”

Khamis lalu, FMT melaporkan 68 bekas dan pekerja semasa SAS menghantar petisyen kepada Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim menggesa mereka mengarahkan SAS segera membayar semua gaji tertunggak dan potongan berkanun.

Satu lagi sumber berkata, walaupun 68 individu menandatangani petisyen itu, hanya 18 orang membuat laporan kepada Jabatan Tenaga Kerja.

Beliau berkata, selebihnya perlu membuat laporan jika mahu tindakan diambil terhadap syarikat itu dan mendapatkan tunggakan gaji mereka.

“Kementerian Sumber Manusia sudah meminta Jabatan Tenaga Kerja Selangor bekerjasama dengan kumpulan itu untuk menyelesaikan masalah mereka. Tidak benar kementerian tidak berbuat apa-apa selepas laporan dibuat.”

SAS berdepan masalah dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) selepas gagal membayar potongan caruman KWSP dan cukai berjuta ringgit kepada badan berkanun itu sejak beberapa tahun lalu, memaksa pengawal selia terbabit tidak memperbaharui lesen perkhidmatan udaranya (ASP) yang luput 29 Feb lalu.

Semua syarikat perkhidmatan udara wajib mempunyai ASP untuk menyediakan perkhidmatan penumpang dan sewa. Susulan itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menggantung sijil pengendali udara (AOC) SAS selama 90 hari mulai 12 Mac lalu.

Rabu lalu, CAAM memutuskan untuk melanjutkan penggantungan itu kepada 31 Julai dan mengarahkan SAS menyelesaikan semua masalah timbul dalam tempoh berkenaan.

Syarikat yang ditubuhkan pada 1992 itu menawarkan perkhidmatan helikopter dan pesawat, lawatan bandar, luncuran udara serta operasi pesawat laut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.