
Bercakap kepada FMT, Ketuanya Chua Hock Kuan berkata Amanah sukar bertapak di kerusi itu sekiranya tidak diberi laluan oleh BN selepas MCA memutuskan tidak bertanding pada PRN lalu bagi memberi fokus kepada PRU16 serta memperkasakan parti.
“Amanah patut bersyukur dan berterima kasih kerana atas belas ihsan BN yang beri laluan, Amanah menang DUN Kota Lama sedangkan sebelum ini mereka tidak pernah bertapak di sana serta selalu kalah di Kelantan.
“Rata-rata tahu jentera BN yang banyak bantu memenangkan calon Pakatan Harapan (PH),” katanya mengulas kritikan Khalid, pengarah Komunikasi Amanah semalam bahawa tiada guna MCA bertanding di DUN Kota Lama kerana sering kalah pilihan raya sebelum ini.
FMT sebelum ini melaporkan MCA menuntut semula kawasan itu susulan kenyataan Ketua BN Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub minggu lalu yang parti berkenaan akan diberikan sebuah kerusi DUN untuk ditandingi pada PRU16.
Khalid dalam maklum balasnya menegaskan Amanah kekal bertanding di DUN Kota Lama selaku penyandang kerusi. Pada PRN lalu, calonnya Dr Hafidzah Mustaqim yang mewakili PH menang dengan majoriti 202 undi.
Kali terakhir MCA memenangi DUN Kota Lama pada PRU 1995. Tetapi, sejak PRU 1999 sehingga 2023, PAS menguasai kerusi itu melalui calonnya, Anuar Tan Abdullah sebelum dimenangi wakil Amanah pada PRN enam negeri Ogos 2023 selepas bekerjasama dengan BN.
Dianggarkan terdapat 30% pengundi Cina daripada 33,043 pengundi di kerusi DUN Kota Lama.
Chua turut menasihatkan Khalid supaya tidak cepat melatah dengan tuntutan MCA yang disuarakannya susulan resolusi konvensyen BN Kelantan memandangkan 30% daripada pengundi di DUN Kota Lama terdiri komuniti Cina.
“Khalid jangan cepat melatah, saya tidak fikir bekas menteri sepertinya cepat ‘koyak’ dengan kenyataan ringkas itu,” katanya.