
Beliau berkata, apa yang penting adalah keikhlasan dan kerja keras dalam mentadbir urus kerajaan agar Sarawak membangun serta menjana pendapatan tinggi menjelang 2030.
“Kalau kita bagus, orang akan dengki, orang nak kutuk saya, kutuklah, saya tidak ambil peduli…saya sebagai seorang Islam, percaya Tuhan akan membantu saya.
“Di usia 74 tahun ini, saya diberikan kesihatan yang bagus untuk terus bekerja, berjalan ke negara lain, melihat cara negara lain membangun dan berjumpa orang untuk mencari cara membangunkan Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Gawai Dayak Daerah Gedong di sini.
Sebelum ini, akhbar tempatan melaporkan beberapa laporan polis dibuat terhadap individu bernama Nehru Sathiamoorthy, penulis artikel di sebuah platform berita dalam talian yang memperlekehkan kepimpinan dan pencapaiannya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mancha Ata mengesahkan lima laporan polis dibuat terhadap artikel berkenaan, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.